Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

KUALA LUMPUR – Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan penglibatan secara langsung atau tidak langsung Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam penahanan mantan Timbalan Yang di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Pihaknya berkata, dakwaan yang mengaitkan Ketua Menteri dengan penahanan tersebut adalah tidak berasas, bersifat spekulatif dan boleh mengelirukan rakyat.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja menjejaskan reputasi kepimpinan negeri malah dilihat sebagai cubaan untuk mengganggu fokus pentadbiran negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan untuk rakyat.

“Ketua Menteri dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sentiasa menghormati prinsip kebebasan institusi penguatkuasaan dan memberi kepercayaan penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional, tanpa campur tangan mana-mana pihak,” kata pejabat Ab Rauf dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, SPRM menahan Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya, Rafique Rashid Ali, Mohamad Ali yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ditahan pada pukul 6.30 petang ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu, Melaka.

SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka dan mereka dibebaskan kira-kira pada pukul 9 malam semalam.

Awal hari ini, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa SPRM untuk turut perlu memanggil mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Ab Rauf.

Beliau mempersoalkan kenapa siasatan tidak dibuat juga kepada Ab Rauf yang pada ketika itu merupakan Ketua Badan Perhubungan Negeri UMNO Melaka dan menjadi penentu segala keputusan Ketua Menteri pada ketika itu.

Mohamad Ali direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengeluarkan perintah reman hingga 20 April terhadap lelaki berusia 61 tahun itu selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Suspek disiasat kerana disyaki meminta suapan terhadap projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, Melaka sejak lima tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here