Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Guna orang tengah atau peraih untuk menjual hasil kelapa sawit antara tindakan segelintir peneroka Felda yang menyebabkan isu ketirisan dan kerugian.

Timbalan Pengarah Besar Perladangan Felda, Izham Mustaffa mendedahkan, pihaknya menyedari wujud kegiatan itu terutama di beberapa tanah rancangan yang menggunakan orang tengah namun ditipu dengan harga lebih rendah.

“Masih ada situasi di beberapa rancangan yang menyebabkan peneroka terpaksa menggunakan peraih untuk berurus niaga sehingga dimanipulasi.

“Segelintir peneroka tidak percaya dengan sistem sedia ada kononnya harga rendah dan kadar perahan minyak sawit (OER) tidak baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Izham menegaskan, situasi terbabit menyebabkan Felda melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu peneroka.

“Peneroka mengusahakan tanaman kelapa sawit untuk mendapatkan pendapatan sebab itu yang penting dalam rantaian industri kelapa sawit adalah urus niaga.

“Ada yang ditipu, dimanipulasi dengan harga rendah sehingga menyebabkan berlaku kepincangan merugikan peneroka tanpa sedar,” katanya.

Mengulas perkara sama, Pengarah Operasi Perladangan Felda, Razuwan Che Rose berkata, kewujudan pihak ketiga itu merugikan peneroka yang sepatutnya menerima keuntungan maksima hasil tanaman.

“Apabila buah sawit dihantar ke kilang Felda, mereka menikmati hasil pendapatan maksimum yang baik dari segi penimbang, perahan dan harga.

“Tetapi apa yang berlaku di beberapa kawasan, ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan.

“Peneroka hantar ke pihak ketiga dan sawit itu dihantar pula ke kilang. Ini mewujudkan ketirisan di tengah proses terbabit,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan ramai peneroka berdepan kerugian kerana wujud ketirisan tidak sepatutnya jika proses penjualan sawit itu berlaku mengikut standard.

Sebelum ini, dilaporkan tindakan segelintir peneroka yang menggunakan orang tengah atau peraih untuk menjual hasil kelapa sawit menyebabkan kerugian yang dianggarkan RM200 juta hasil penjualan sawit yang tidak sistematik.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here