JOHOR BAHRU – Johor mencatat pelaburan bernilai RM27.4 bilion bagi suku pertama 2025.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, pencapaian itu didorong kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta pelbagai inisiatif lain yang dilaksanakan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini.
“Pada masa sama, seperti yang saya telah tegaskan apabila dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor, saya akan memastikan tahap pendidikan di negeri Johor dipertingkatkan.
“Pihak kerajaan Johor telah memperuntukkan RM55 juta untuk memperbaiki sistem pendidikan di Johor,” ujar baginda dalam kenyataan hari ini.
Berkenaan mitigasi banjir yang sepatutnya siap pada 2029, baginda menitahkan agar projek itu dipercepatkan dan dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2027.
Jelas Tunku Mahkota Ismail, infrastruktur negeri sentiasa menjadi tumpuan utama selain meningkatkan tahap pendidikan, taraf hidup dan ekonomi.
Titah baginda lagi, perkara tersebut amat penting bagi memastikan kemajuan dan daya saing Johor.
“Syabas saya ucapkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Kerajaan Negeri Johor, sektor swasta dan semua yang terlibat atas usaha positif dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang selari dengan usaha memartabatkan lagi negeri Johor dalam pelbagai aspek,” titah baginda.- MalaysiaGazette