Presiden Maldives, Mohamed Muizzu. - Foto: AFP

MALE – Maldives secara rasmi melarang pemegang pasport Israel daripada memasuki negara itu, sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di sebalik kezaliman regim Israel sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menandatangani langkah itu sebagai undang-undang selepas ia diluluskan oleh Parlimen negara tersebut pada hari Selasa.

Menurut Pejabat Presiden, keputusan itu mencerminkan kecaman negara kepulauan di Lautan Hindi tersebut terhadap apa yang digambarkan sebagai `kekejaman berterusan’ Israel terhadap rakyat Palestin.

Memetik laporan portal New York Post, akta imigresen yang dipinda itu menyekat kemasukan pemegang pasport Israel, meskipun individu dengan dua kewarganegaraan masih boleh melawat menggunakan dokumen perjalanan bukan dari Israel.

Tindakan itu susulan cadangan Kabinet Maldives pada 2024 dan berlaku ketika tekanan dalaman yang semakin meningkat supaya kerajaan mengambil pendirian lebih tegas dalam isu kekejaman Israel di Palestin.

Sementara itu, Muizzu turut mengumumkan rancangan melantik perwakilan khas bagi menilai keperluan kemanusiaan di wilayah Palestin, dan melancarkan kempen mengumpul dana nasional di bawah slogan “Rakyat Maldives Bersolidariti bersama Palestin”.

Susulan larangan terbaharu Maldives itu, Kementerian Luar Israel kemudiannya menasihati rakyatnya tanpa mengira kewarganegaraan kedua supaya tidak melancong ke Maldives.

Dalam masa sama, Kementerian Luar Israel turut mengesyorkan supaya rakyat Israel yang berada di negara itu mempertimbangkan untuk pulang memandangkan kekangan perkhidmatan konsulat.

Maldives, yang mempunyai penduduk seramai 530,000 dan lebih 98 peratus beragama Islam sebelum ini pernah menarik balik larangan pelancong Israel pada tahun 1990-an, serta pernah meneroka kemungkinan menormalisasi hubungan diplomatik pada 2010, namun usaha tersebut terhenti pada 2012.

Sejak perlembagaan 2008 digubal, rakyat Maldives dan sesiapa yang ingin menjadi warganegara diwajibkan secara undang-undang untuk menganut Islam Sunni secara nominal. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here