Pekerja bengkel yang memandu kereta mewah melanggar seorang lelaki hingga maut didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja bengkel yang memandu kereta mewah melanggar seorang lelaki sedang membantu mangsa kemalangan, Ahad lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.

Kok Zi Kang, 25, yang memandu kereta BMW 530i Ketika kejadian membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu dengan keadaan badannya mengandungi 76 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah, iaitu 26 mg dalam 100 ml darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian kepada Mohd Taufik Ariff Sariff, 37.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Jalan Kilometer 16, Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi di sini, pukul 2.10 pagi, Ahad lalu itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.

Selain itu, jika sabit kesalahan, lesen memandu juga perlu diendorskan dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu minimum 10 tahun dari tarikh sabitan dan lesen memandu percubaan dibatalkan, jika ada.

Pada masa sama, tertuduh sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran VNH19 itu turut didakwa bagi satu lagi pertuduhan iaitu mempamerkan pada kenderaan terbabit nombor pendaftaran yang bukan kepunyaan kereta dipandu itu.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini, kira-kira 4.30 pagi, hari yang sama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh menawarkan jaminan RM25,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta tiga syarat tambahan, namun dibantah peguam Chuah Shyue Chien yang mewakili tertuduh.

Katanya, anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan dan menanggung ibu bapa yang berusia 54 dan 53 tahun, selain memberi kerjasama sepanjang masa siasatan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM8,000 serta syarat tambahan, lapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei depan bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.