KUANTAN – Polis sedang menunggu perintah untuk siasatan berhubung kes buli seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah berasrama di daerah Bera.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, prosedur tersebut perlu dilalui kerana kes melibatkan remaja bawah umur.
“Laporan polis telah diterima dan kini kita sedang menunggu untuk menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PDRM Kontinjen Pahang sempena Peringatan Hari Polis ke 218 tahun 2025 di sini, hari ini.
Pada 13 April lalu, pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang memaklumkan anaknya telah dibuli semasa sesi ‘roll call’ bagi pemeriksaan bilik oleh Persatuan Jabatan Penguasa Asrama (JPA).
Tambah Yahaya, siasatan awal mendapati, sesi ‘roll call’ yang sepatutnya dijalankan oleh warden asrama itu telah diambil alih oleh dua pelajar tingkatan empat dan tiga pelajar lima.
Ketika kejadian, mereka dipercayai bertindak membuli mangsa dengan memaksanya menari ‘wadidaw’, selain mencekiknya di bahagian leher kerana memotong rambut tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihak sekolah.
Sementara itu, Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PDRM Kontinjen Pahang sempena Peringatan Hari Polis ke 218 tahun 2025 hari ini turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kehadiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam perkembangan lain, Yahaya memaklumkan, pihaknya akan memanggil beberapa individu lagi bagi memberi keterangan berhubung kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub.
“Bagi kes di Raub, kita masih melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan,” ujarnya.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan selepas ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub kelmarin. – MalaysiaGazette