KUALA LUMPUR – Surat derma asal dari Kerajaan Arab Saudi bagi mengesahkan kemasukan wang ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak tidak ditunjukkan kepada pasukan penyiasat yang terlibat dalam lawatan ke negara itu.
Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, pasukan itu tidak memperoleh keempat-empat dokumen asal meskipun berpeluang bertemu dengan wakil keluarga diraja itu.
Ujar beliau, pihak SPRM memang terdesak untuk mendapatkan dokumen asal surat-surat berkenaan, namun sepanjang ingatannya, ia tidak ditunjukkan kepada mereka dalam pertemuan tersebut.
Mohd. Hafaz merupakan salah seorang pegawai SPRM yang dihantar ke Riyadh pada penghujung 2015 untuk bertemu seorang ‘Putera Saud Abdulaziz Al-Saud’, di Istana Arab Saudi.
Turut terlibat dalam lawatan itu ialah Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim; pegawai penyiasat, Nasharudin Amir; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ketika itu sebagai wakil Jabatan Peguam Negara.
Kumpulan berkenaan berada di negara tersebut bagi menyiasat empat ‘surat derma’ dikatakan ditandatangani dan dihantar oleh seorang ‘putera’ kepada Najib bertarikh 1 Februari 2011 dan 1 Jun 2014.
Dalam keterangannya, Mohd Hafaz berkata, beliau ditugaskan merakam kenyataan daripada ‘Saud’ menerusi peguam keluarga diraja itu, Abdullah Al Koman dan individu dalam buruan, Eric Tan Kim Loong yang kebetulan berada di sana.
Saksi menyatakan demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada perbicaraan Najib yang didakwa menyeleweng dana RM2.3 billion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri sebelum ini berkata, derma yang diterima dalam akaun bank AmIslamicnya adalah susulan pertemuan secara peribadi dengan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah di Arab Saudi pada tahun 2010.
Sepanjang perbicaraan kes 1MDB, hanya salinan empat surat derma dikemukakan kepada mahkamah.
Najib sebelum ini mendakwa beliau menyimpan salinan asal di pejabatnya namun tidak dapat mengaksesnya selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 pada tahun 2018.
Dalam kunjungan ke Arab Saudi, SPRM merekodkan kenyataan wakil Putera Saud Abdulaziz Majid Al Saud dan Eric Tan.
Ujarnya, kenyataan mereka sebenarnya dipindahkan daripada akuan berkanun (SD) yang telah disediakan terlebih dahulu.
Mohd. Hafaz kemudian ditanya peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin mengapa Mohamad Abdullah memberikan kenyataan itu bagi pihak Putera Saud.
Beliau menyatakan, SPRM dimaklumkan bahawa putera Arab Saudi itu mempunyai imuniti dan penyiasat perlu merekodkan kenyataan melalui perantara atau ejennya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – MalaysiaGazette