Khlir Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen pembangkang menyifatkan tindakan sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina yang menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit sebagai satu perbuatan bangsat yang tidak boleh dimaafkan.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor berkata, beliau tidak melihat penerbitan itu sebagai satu kesilapan teknikal sebaliknya, menganggap ia  suatu perkara disengajakan dan mempunyai niat jahat.

Katanya, sebagai seorang yang pernah berjuang mempertahankan tanah air daripada serangan musuh, beliau merasa sangat marah kerana penerbitan itu telah mewujudkan penghinaan terhadap negara tercinta.

“Ini dah melampau dah ni…perkara seperti ini tak boleh dimaafkan dah. Sepatutnya orang yang terlibat dengan penyiaran gambar itu ditarik kerakyataannya dan dikenakan hukuman wajar untuk beri pengajaran kepada orang lain.

“Sebagai veteran tentera, saya tak boleh maafkan perkara semacam ini berlaku. Kita berjuang menentang komunis dahulu, nak mempertahankan tanahair…tiba-tiba sekarang ini ada pula pihak yang cuba nak menghina pengorbanan kami warga tentera dengan menghilangkan lambang pada Jalur Gemilang yang kita julang.

“Saya desak pihak-pihak yang terlibat ambil tindakan tegas terhadap perkara ini dan tarik lesen syarikat akhbar itu serta-merta,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Khlir turut melahirkan kebimbangan, penerbitan gambar seperti itu oleh akhbar terbabit akan menimbulkan salah faham serta hasutan kepada masyarakat umum hingga boleh membawa situasi huru-hara dan ketidakstabilan.

Katanya, ia satu tindakan biadab dan telah mencabar kedaulatan negara yang dipertahankan selama ini oleh institusi ketenteraan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai permohonan maaf yang telahpun dibuat oleh Sin Chew Daily berhubung kesilapan penerbitan gambar itu, Khlir menegaskan, ia boleh diterima namun, tidak sekali-kali melepaskannya dengan mudah.

Katanya, hukuman perlu dikenakan sebagai pengajaran agar semua pihak tidak kira bangsa, agama dan kaum di dalam negara ini menghormati kedaulatan sedia ada.

“Dia telah mencabar, tak bolehlah (dilepaskan), kita kena hukumlah dia. Kalau betullah seperti yang diuar-uarkan.

“Kita kena ajar pihak-pihak yang macam ini, tak boleh dibiarkan nanti dia akan buat lagi. Dah banyak kali dah jadi perkara-perkara macam ini.

“Bagi orang yang terlibat dan sengaja buat perkara seperti itu, pihak berkuasa perlu tangkap sahaja mereka, dia dah lebih dah…tentera memang tak rela perkara begini terjadi,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Menerusi kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan “kesilapan teknikal”.

Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta, dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula hari ini dalam cetakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here