Tertuduh, Julaiha (kiri) dan kakaknya, Normala mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas dakwaan melakukan gaduh gempar di Hospital Melaka, 19, Januari lalu.

MELAKA – Dua beradik wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di dalam wad Hospital Melaka dipercayai berhubung isu menjaga bapa yang nazak, Januari lalu.

Tertuduh, Normala Othman, 47 dan Julaiha Othman, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah melakukan gaduh gempar dengan melakukan pergaduhan di tempat awam.

Perbuatan itu dilakukan di Wad 42, Katil 2A Hospital Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 2.50 petang 19 Januari 2025.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, pergaduhan berpunca daripada isu pengebumian bapa yang sedang nazak di wad hospital berkenaan sebelum meninggal dunia pada 20 Januari lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah.

Kedua-dua tertuduh memberi alasan menjaga ibu yang sakit, anak orang kurang upaya (OKU) mental dan menanggung anak-anak yang masih kecil.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM800 bagi setiap tertuduh.

Kes akan disebut 3 Jun ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast