Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Nilai pelaburan RM27.4 bilion yang dicatat Johor pada suku pertama tahun ini adalah satu petanda positif terhadap iklim pelaburan di negeri ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, antara sektor yang menyumbang kepada jumlah tersebut adalah farmaseutikal, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pembuatan dan semikonduktor.

“Ini satu angka yang cukup membanggakan dan Insya-Allah ia hanya satu permulaan kerana JS-SEZ (Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura) pun baru bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Townhall Tahun Melawat Johor 2026 anjuran Tourism Johor, di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata, satu forum ekonomi juga bakal diadakan Isnin depan dengan kerjasama kerajaan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, forum berkenaan telah menarik minat hampir 800 syarikat dari pelbagai sektor ekonomi dan juga pelabur berpotensi sekali gus berpotensi melonjakkan nilai pelaburan di negeri ini.

Terdahulu ketika berucap di townhall berkenaan, Onn Hafiz berkata nilai pelaburan yang dicatat pada suku pertama tahun itu adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri berkenaan sekali gus mengatasi nilai pelaburan kira-kira RM20 bilion yang dicatat bagi tempoh Januari hingga September tahun lepas.

Townhall berkenaan diadakan bagi membentangkan perancangan strategik untuk kempen Tahun Melawat Johor 2026 yang menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong tahun depan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here