Peguam Sivahnanthan Ragava

KUALA LUMPUR – Kementerian Undang-Undang dan Reformasi Institusi digesa untuk membentangkan satu rang undang-undang (RUU) baharu di Parlimen bagi membolehkan peguam mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan lebih cepat dan berkesan bagi tujuan pembelaan.

Peguam, Sivahnanthan Ragava berkata, kegagalan sistem sedia ada untuk membenarkan akses segera kepada rakaman CCTV menyebabkan bukti penting sering hilang sebelum sempat digunakan di mahkamah sekali gus menjejaskan proses keadilan.

Dedah beliau, ketika ini andai ada pihak peguam memerlukan rakaman CCTV, mereka perlu terlebih dahulu menulis surat secara rasmi kepada pemilik premis atau pihak yang menyimpan rakaman tersebut.

Sekiranya pemilik CCTV gagal memberikan kerjasama, peguam tidak mempunyai pilihan lain selain memfailkan permohonan rasmi di Mahkamah.

“Namun proses ini akan mengambil masa yang sangat lama kerana pihak pendakwaraya perlu membalas afidavit permohonan terlebih dahulu sebelum mahkamah membuat sebarang keputusan.

“Dalam keadaan sebegini, proses tersebut boleh mengambil masa lebih dua hingga tiga bulan sedangkan kebanyakan sistem CCTV hanya menyimpan rakaman selama sebulan sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Sivahnanthan, ia tidak adil kerana walaupun terdapat keterangan jelas menunjukkan anak guam tidak bersalah, bukti tersebut tidak dapat dibentangkan di mahkamah hanya disebabkan oleh prosedur undang-undang tidak efisien dan lambat.

“Bayangkan, seseorang yang tidak bersalah terpaksa melalui perbicaraan, ditahan atau terus dicemuh masyarakat sedangkan ada rakaman yang boleh membuktikan dia tidak bersalah.

“Tapi kerana sistem terlalu lambat, bukti itu hilang begitu sahaja,” katanya.

Justeru, Sivahnanthan mencadangkan agar satu undang-undang khusus digubal di mana selepas anak guam membuat laporan polis dan peguam memfailkan permohonan berserta alasan munasabah di mahkamah, maka pihak Majistret atau Mahkamah Tinggi boleh mengeluarkan perintah rasmi rakaman CCTV tersebut diserahkan kepada peguam.

Malah peguam juga boleh diiringi oleh anggota polis untuk pergi ke lokasi kejadian bagi mendapatkan rakaman berkenaan secara sah dan terjamin.

“Ini bukan sahaja akan mempercepatkan proses pengumpulan bukti tetapi juga memastikan hak tertuduh untuk membela diri tidak dinafikan hanya kerana sistem kita gagal bertindak mengikut keperluan masa,” ujarnya.

Beliau juga menyeru menteri terlibat, Datuk Seri Azalina Othman Said agar menjadikan reformasi itu sebagai keutamaan dalam agenda Parlimen akan datang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here