Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berucap pada Majlis Ziarah Kasih Pusat Pungutan Zakat (PPZ)-MAIWP di Universiti Poly-Tech, Taman Shamelin, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan memandang serius peningkatan kes rogol dan sumbang mahram melibatkan remaja bawah umur seawal usia 10 tahun yang kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, gejala seksual dalam kalangan remaja adalah petanda tidak sihat malah boleh mengancam masa depan generasi muda.

“Gejala seksual remaja merupakan satu petunjuk dan petanda kurang sihat yang menunjukkan amalan hidup berisiko tinggi yang boleh mengancam kesejahteraan generasi muda.

“Jika fenomena sosial ini terus dibiarkan tanpa strategi yang berkesan oleh semua pihak berkepentingan, ia akan menyebabkan satu situasi kecemasan sosial (social emergency) yang lebih parah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Polis Kelantan mendedahkan peningkatan ketara dalam kes rogol dan sumbang mahram saban tahun, dengan remaja bawah umur menjadi pelaku dan mangsa utama, kebanyakannya berlaku atas dasar rela.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, sebanyak 252 kes direkodkan pada tahun 2024 berbanding 206 kes pada 2023, menunjukkan peningkatan yang tidak boleh dipandang ringan.

Lebih mengejutkan, 90.98 peratus daripada kes yang direkodkan bukan melibatkan serangan seksual secara paksa, tetapi berlaku atas persetujuan bersama antara pasangan remaja yang masih belum cukup umur, sesetengahnya seawal 10 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kanak-kanak dan remaja kini terlalu mudah mengakses bahan berunsur lucah menerusi media digital tanpa kawalan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan perlakuan seksual akibat keinginan mencuba atau eksploitasi oleh orang dewasa yang tidak bertanggungjawab.

Jelas Mohd Na’im lagi, masalah ini perlu ditangani segera melalui pendekatan holistik dan bersepadu yang melibatkan semua pihak, terutamanya ibu bapa, institusi pendidikan, masyarakat dan agensi kerajaan.

“Strategi pencegahan berupa Pendidikan Seksualiti Holistik (PSH) yang memberi penekanan kepada lima dimensi seksualiti – intelek, emosi, sosial, spiritual dan fizikal – perlu dipertingkatkan,” ujarnya.

PSH, kata beliau, mestilah disesuaikan dengan tahap kematangan remaja, berasaskan nilai agama dan budaya serta didasari data saintifik yang tepat. Ibu bapa juga perlu diberi latihan serta ilmu komunikasi selamat dan hormat berkaitan seksualiti anak-anak.

Bagi remaja yang telah terjebak, Dr Mohd Na’im menegaskan pendekatan pengurangan risiko (harm reduction) perlu dilaksanakan bagi mengekang masalah kehamilan luar nikah, jangkitan penyakit dan kesihatan mental.

“Undang-undang juga mesti dikuatkuasakan dengan lebih tegas terhadap individu yang mengeksploitasi remaja melalui amang seksual, cabul atau rogol,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here