KAMPAR – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam perigi ketika mengambil air dalam kejadian di Kampung Nyior, di sini Subuh tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia 57 tahun itu telah jatuh ke dalam perigi sedalam tiga meter.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada anak mangsa sekitar jam 7.52 pagi.
“Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar yang tiba di lokasi kemudiannya membawa naik mangsa menggunakan sistem tali.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Khamis.
Operasi terkawal pada jam 8.10 pagi dan tamat sepenuhnya sekitar jam 8.25 pagi. – MalaysiaGazette