Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berucap pada Seminar Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah di Menara Seri Wilayah, Kuala Lumpur. Foto: Facebook Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Jabatan Wilayah Persekutuan diarahkan menubuhkan Pasukan Pemacu Governans dan Integriti sebagai sebahagian daripada usaha melaksanakan reformasi urus tadbir secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, reformasi pentadbiran tidak boleh ditangguhkan dan perlu dilaksanakan segera.

“Wilayah Persekutuan tidak boleh terus dibelenggu imej birokrasi yang melelahkan kerana kita perlu tampil sebagai lambang pentadbiran yang telus, cekap dan berani mencabar status quo.

“Reformasi ini bukan semata-mata soal prosedur kerana berkait rapat dengan budaya kerja dan cara fikir penjawat awam.

“Kalau ada sistem lapuk, kita semak. Kalau ada SOP yang longgar, kita betulkan. Budaya takut menegur juga mesti dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial, hari ini.

Zaliha turut mengarahkan semua bahagian dan agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan untuk menjalankan audit kendiri terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan proses kerja masing-masing.

Menurutnya, audit tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan, tetapi untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan secara berterusan.

“Kita sedang membina budaya kerja baharu dalam perkhidmatan awam.

“Saya percaya, keputusan yang dibuat dengan niat jujur akan membina semula keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan perkhidmatan awam,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here