KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus di Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit berkenaan prestasi operasi dan kewangan majikannya kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), Jun tahun lalu.
Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, didakwa cuba mendedahkan maklumat sebuah dokumen bertajuk ‘Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial’ kepada Petros.
Menurut pertuduhan, dokumen tersebut diperolehi tertuduh ketika bertugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas di sebuah kondominium di Jalan Pinang, dekat sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara yang boleh sampai setahun.
Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin mengambil kira faktor keadaan kes iaitu maklumat sulit Petronas yang cuba didedahkan kepada syarikat Petros.
“Kes ini mempunyai kepentingan kerajaan berikutan Petronas merupakan syarikat milik kerajaan Malaysia dan perbuatan tertuduh mungkin akan menggugat kedudukan kewangan negara.
“Jumlah jaminan yang tinggi juga bagi memastikan tertuduh tidak memandang mudah jaminan yang diberikan mahkamah,” katanya.
Peguam Fadhli Sutris yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya bukanlah seorang yang berisiko untuk melarikan diri dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis semasa siasatan dijalankan.
“Anak guam baru sahaja melaporkan diri semalam di tempat kerja baharunya di Sarawak selepas dibuang kerja Disember lalu.
“Pendapatannya tidak stabil sedangkan dia merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai isteri serta tiga anak yang masih kecil.
“Mohon jumlah jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.
Hakim Siti Shakirah Mokhtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan kes. – MalaysiaGazette