KUALA LUMPUR – Penyanyi dari Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, bersama suami dan empat rakannya yang lain dijangka dibebaskan pada 7 Mei ini.
Namun, pembebasan itu bergantung jika tiada sebarang permohonan rayuan difailkan oleh pihak Pendakwa Raya Wilayah Narathiwat, Thailand sebelum tamat waktu pejabat pada 6 Mei.
Menurut laporan apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat memaklumkan sehingga hari ini (Jumaat), pihak tertuduh belum menerima sebarang notis rayuan daripada pejabat pendakwa raya.
“Setakat ini, tiada permohonan difailkan bagi mencabar keputusan mahkamah yang membebaskan kesemua tertuduh, mahupun permohonan untuk melanjutkan tempoh rayuan,” katanya.
Tambahnya, pendakwa raya mempunyai tiga peluang untuk memohon lanjutan tempoh bagi memfailkan rayuan, sama seperti prosedur dalam kes dadah dan keselamatan lain.
Dalam kes ini, pendakwa raya telah menggunakan peluang pertama, dan tempoh itu akan berakhir pada 6 Mei 2025.
“Kebiasaannya, pejabat pendakwa raya akan mengemukakan permohonan lanjutan kedua dua atau tiga hari sebelum tarikh akhir.
“Jika diluluskan, tempoh rayuan akan dilanjutkan sehingga 6 Jun, manakala peluang ketiga pula akan membawa tarikh akhir ke 6 Julai,” tambahnya.
Menurut jurucakap itu, mahkamah telah dimaklumkan bahawa pihak pendakwa masih sedang mengumpul bukti dan saksi baharu untuk menyokong proses rayuan.
Jika bukti yang diperlukan sudah mencukupi, pendakwa raya boleh terus memfailkan rayuan tanpa memohon lanjutan masa tambahan.
“Setakat hari ini, belum ada apa-apa permohonan yang diterima. Kami akan tunggu hingga 1, 2 atau 5 Mei.
“Jika tiada sebarang tindakan sehingga pejabat mahkamah ditutup pada 6 Mei, maka semua tertuduh akan dibebaskan,” jelasnya.
Tambah beliau, pihak berkuasa Thailand turut menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat untuk menahan individu terlalu lama tanpa perbicaraan yang adil. – MalaysiaGazette