JOHOR BAHRU – Saranan agar mufti di seluruh negara mengeluarkan fatwa berkenaan hukum memperoleh sumber rezeki hasil daripada kemusnahan hutan dan aktiviti pembangunan yang memudaratkan alam sekitar serta masyarakat tidak perlu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ketika ini tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana syarat-syarat dan garis panduan sedia ada sudah memadai.
Jelasnya, setiap projek pembangunan tertakluk peraturan bawah pihak berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah.
“Jika semua pihak yang terlibat mengikuti syarat dan garis panduan yang ditetapkan tidak akan timbul isu kemusnahan alam.
“Saya rasa semua projek pembangunan telah ada syarat tertentu termasuk kebenaran merancang oleh PBT saya kira semua pihak tidak kira siapa kena ikut peraturan yanh digariskan dari Pejabat Tanah dan PBT.
“Apa yang penting ialah pematuhan. Jika semua pihak benar-benar mengikut peraturan yang telah ditetapkan, saya percaya masalah berkaitan pencemaran atau kerosakan alam sekitar tidak akan timbul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Johor di sini hari ini.
Terdahulu dalam satu kenyataan, Persatuan Aktivis Sahabat Alam-KUASA melalui setiausahanya, Hafizudin Nasarudin mengesyorkan agar para mufti di seluruh negara mengambil langkah proaktif dengan mengeluarkan fatwa berkenaan hukum memperoleh sumber rezeki hasil daripada kemusnahan hutan dan aktiviti pembangunan yang memudaratkan alam sekitar serta masyarakat.
Menurut Hafizudin, semakin banyak projek pembangunan dan pembalakan yang mengorbankan kawasan hutan menjejaskan ekosistem, mencemarkan sungai dan mengancam kehidupan masyarakat luar bandar termasuk Orang Asli, petani dan nelayan.
Beliau mendakwa, akiviti-aktiviti itu bukan sahaja membawa kepada kemusnahan sumber makanan dan air malah turut menyumbang kepada risiko bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Beliau mendakwa isu seperti itu jarang disentuh secara terbuka oleh mufti dan para agamawan.
Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, apabila semua pihak patuh, tidak menjadi masalah dan mufti juga tidak perlu mengeluarkan fatwa kerana sudah ada peraturan mengenainya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai situasi ajaran sesat di negeri Johor yang kini dalam situasi terkawal.
“Alhamdulillah, buat masa ini semuanya terkawal. Kes terbaharu adalah kira-kira tiga bulan lalu membabitkan ajaran Ahmadi Religion yang telah pun difatwakan mengikut prosedur undang-undang.
“Pemantauan berterusan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa agama negeri dan orang ramai diminta untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan ajaran sesat.
“Sekiranya ada aduan, kita mohon agar disalurkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan segera,” katanya.- MalaysiaGazette