PETALING JAYA – Tiada keperluan untuk kepimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) khususnya menterinya untuk masuk campur dalam semua perkara yang menjadi kontroversi melibatkan mahasiswa dan institusi pengajian tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, ini kerana tindakan mencampuri tadbir urus sesebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hanya dilihat sebagai sikap yang tidak matang.
“Kalau ditanya menteri untuk nak masuk campur dalam semua hal, jadi saya fikir itu adalah satu benda yang tidak matang.
“Dari segi kita nak masuk campur dalam semua perkara, yang paling mustahak, apabila satu perkara dimainkan, jadi tanggungjawab pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menjelaskan kepada masyarakat.
“Ini kerana yang timbul itu satu pihak dengan pihak yang lain dan mengikut interpretasi mereka.
“Ia menjadi tanggungjawab UiTM untuk menjelaskan perkara-perkara itu kepada masyarakat apa yang sebenarnya mereka buat dan mereka telah pun jelaskan perkara itu,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 5 yang dipengerusikan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rabu lalu, media melaporkan polis mengesahkan menerima satu laporan pada Selasa berhubung video tular memaparkan sekumpulan penuntut pusat asasi UiTM kampus Dengkil berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, video itu dipercayai adalah sebahagian daripada hasil tugasan pelajar UiTM yang berkaitan dengan ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK).
Selasa lalu, UiTM menerusi kenyataan menjelaskan pelajar berpakaian mirip KKK itu adalah sebahagian daripada tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus Contemporary Global and Legal Issues. – MalaysiaGazette