KUANTAN – “Bukan rakan kongsi, ‘not really a friend. Just a stockis’.“
Itu kata bekas pelakon dan perawagati terkenal, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40 atau ketika diminta mengulas laporan media mengenai pendedahan individu dipercayai rakan kongsi perniagaannya minggu lepas.
Dalam beberapa hantaran dimuatnaik di Instastory milik individu dikenali sebagai Nur Hanisah itu, Zahnita dikatakan mereka cerita berkenaan kisah rumah tangga serta dianiaya oleh suaminya.
Menurut Zahnita, dia terkejut dengan kenyataan fitnah terbabit dan menjelaskan wanita itu bukan rakan kongsi, sebaliknya hanya stokis perniagaan makanannya.
“Fakta tu dia dapat daripada mana ya?. Saya tak dapat nak cakap lanjut berkenaan dakwaan tu sebab ia adalah fitnah. Tunjuklah bukti.
“Dia (Nur Hanisah) minta saya saman dia apa semua. Kesianlah dia kalau saya saman. Saya tak akan ‘attack’ dia.
“Saya tak berkomunikasi dengan dia sejak Februari lalu selepas tempahan jualan dan urus niaga selesai. Saya terkejut juga apabila dia tampil dengan dakwaan-dakwaan tu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir di Mahkamah Syariah Kuantan, di sini hari ini.
Zahnita datang ke mahkamah bersama abang sulungnya, Mohd Julian Hussein Wilson Hussein bagi sebutan bagi tiga kes melibatkan permohonan cerai, perintah injunksi terhadap gangguan dan tuntutan hadanah atau hak lawatan serta hak bermalam terhadap anak-anak telah dibawa ke tarikh baru.
Pada 11 April, Nur Hanisah yang mendakwa merupakan bekas rakan kongsi Zahnita mendedahkan bekas pelakon itu tidak pernah dikasari suaminya.
Hanisah juga mendakwa dia adalah individu yang membantu Zahnita keluar dari rumah suaminya itu sejak tahun lalu. – MalaysiaGazette