KUANTAN – Mahkamah Rendah Syariah Kuantan melantik dua hakam dalam proses menyelesaikan kes tuntutan cerai bekas pelakon dan model, Zahnita Wilson dengan suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor hari ini.
Dalam konteks hukum syarak, hakam dikenali sebagai arbitrasi atau timbang tara dan boleh juga diberi maksud sebagai memberi kuasa menjatuhkan sesuatu hukuman kepada seseorang.
Peguam syarie mewakili Zahnita, Nur Ashikin Abdul Rahim berkata, pelantikan hakam daripada kalangan ahli keluarga pasangan itu dibuat bagi membolehkan rundingan lanjut dijalankan sebelum laporan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan seterusnya.
“Tadi sudah selesai lantikan hakam keluarga bagi kedua-dua pihak untuk ke arah perceraian dan kini kita menunggu proses rundingan kedua-dua pihak.
“Bila sudah ada laporan daripada keluarga (pihak hakam yang dilantik) barulah ia dibawa semula ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan hari ini.
Difahamkan, abang sulung Zahnita, Mohd Julian Hussein Wilson telah dilantik sebagai hakam mewakili pihak plaintif manakala Abdul Zackery pula melantik birasnya, Parwish Mohd Yusof.
Tiga kes yang disebut dalam prosiding hari ini melibatkan permohonan perceraian, tuntutan perintah injunksi bagi menghalang gangguan serta permohonan hadanah yang merangkumi hak lawatan dan bermalam terhadap tiga anak pasangan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Nur Asyikin memberitahu, anak guamnya turut memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Syariah bagi menghalang anak sulungnya daripada terus ditemubual oleh media.
Ia susulan remaja berusia 18 tahun itu didakwa menerima kecaman di media sosial selepas muncul dalam satu temubual sebelum ini.
“Anak sulung memang sudah berusia 18 tahun tetapi masih dalam perhatian ibu. Jadi kami mohon agar tiada lagi pendedahan dilakukan oleh pihak bapa atau mana-mana pihak lain yang boleh menjejaskan emosi dan privasi anak itu,” jelas Nur Ashikin.
Selain itu, Zahnita juga menuntut semula barangan peribadinya yang masih berada di kediaman kelamin mereka namun setakat ini hanya pasport miliknya telah dikembalikan.
Mengulas mengenai hak penjagaan anak, Nur Ashikin memaklumkan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini telah memberikan hak jagaan sementara (interim) kepada Zahnita terhadap tiga anak yang masih di bawah umur 18 tahun pada 28 Februari lalu.
Katanya, tuntutan bagi hak jagaan kekal akan diteruskan dan prosiding selanjutnya ditetapkan pada 19 Mei ini bagi pengurusan kes lanjut.
“Perintah jagaan sementara telah diperoleh dan kini kami sedang melengkapkan semua dokumen untuk tuntutan jagaan kekal,” katanya.
Sementara itu, Zahnita merayu agar semua pihak menghormati privasi anak-anaknya dan tidak lagi menjadikan mereka mangsa konflik rumah tangga yang sedang dihadapinya.
“Saya mohon sangat kepada mana-mana pihak, tolong jangan libatkan anak-anak saya lagi. Cukuplah mereka terkesan dengan apa yang berlaku, kasihan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Zahnita, Abdul Zackery hadir di mahkamah bagi sebutan semula tiga kes