PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) membuka peluang kepada mana-mana syarikat telekomunikasi memasang kabel fiber optik di sepanjang laluan kereta api di negara ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif liberalisasi pembangunan infrastruktur telekomunikasi di sepanjang koridor kereta api milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) merupakan langkah strategik menyokong agenda transformasi digital negara.
Kali ini, YTL Communication dipilih sebagai syarikat kedua untuk memasang kebel fiber optik selepas 30 tahun lalu.
“Sudah tentu ini bukan eksklusif kepada YTL, dari semasa ke semasa kita boleh pertimbangkan untuk syarikat-syarikat pembekal komunikasi lain juga.
“Ini untuk kita pastikan kita ada lebih banyak rangkaian fiber optik untuk memastikan daripada segi kesampaian digital dan komunikasi dapat ditingkatkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Apresiasi Pelanggan dan Hari Terbuka RAC Tahun 2025 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad; dan Pengarah Urusan YTL Communication Sdn. Bhd, Datuk Seri Yeoh Seok Hong.
Pada majlis yang sama turut berlangsung pemeteraian perjanjian di antara RAC dengan YTL Communication.
Jelas Anthony, YTL dipilih kerana menawarkan pulangan paling tinggi kepada perbadanan itu.
Hasil tambahan kelak boleh digunakan untuk pembangunan dan peningkatan industri rel termasuk penyelenggaraan rolling stock dan stesen kereta api, penambahbaikan fasiliti seperti lif dan kemudahan untuk kegunaan Golongan Kurang Upaya (OKU) dan pembinaan stesen kereta api baharu dan elektrifikasi laluan.
“Dengan pulangan itu hasil akan dapat ditingkatkan untuk melabur semula ke dalam sektor kereta api negara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette