KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mematahkan cubaan menyeludup 269 bungkusan pelbagai jenis dadah seberat 279.19 kilogram (kg) bernilai RM13.6 juta dalam Ops Freijo, di sini, 14 April lalu.
Pemangku Pengarahnya, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, bertindak hasil maklumat risikan hampir dua bulan, pihaknya menahan dua lelaki Cina warga tempatan di sebuah restoran di Bandar Baru Sri Petaling.
“Penangkapan kedua-dua suspek berusia antara 42 dan 43 tahun itu membawa kepada penemuan stor simpanan dadah di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Sri Petaling.
“Hasil pemeriksaan di bahagian dapur rumah tersebut telah menjumpai 210 bungkusan plastik berisi dadah disyaki ketamin (216.30 kg), 55 plastik berisi methamphetamine (57.21 kg) dan empat plastik lagi berisi ekstasi (5.68 kg),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurut Mat Zani, kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bermula 15 hingga 21 April ini bagi membantu siasatan.
“Suspek utama ini mempunyai 17 rekod lampau, 10 rekod jenayah dan tujuh rekod dadah membabitkan kes pecah rumah, rompakan premis dan jenayah curi kereta sebelum ini.
“Manakala seorang lagi suspek mempunyai tiga rekod lampau jenayah dan satu rekod dadah,” katanya.

Selain itu, kata Mat Zani, pihaknya turut menyita aset yang digunakan sindiket termasuk dua kereta jenis Honda Civic yang dianggarkan bernilai RM70,000.
“Tindakan sitaan itu diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan nilai sitaan bernilai RM3.7 juta,” katanya.
Jelasnya, sindiket penyeludupan dadah itu menggunakan modus operandi dengan menjadikan rumah sewa sebagai stor simpanan bahan terlarang itu dan menggunakan bungkusan plastik teh cina untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua sindiket itu menyewa rumah tersebut sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dengan kadar bulanan RM1,700 sejak November 2024.
“Selain pasaran tempatan, dadah tersebut yang dipercayai berasal dari negara jiran di sebelah utara itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dipasarkan ke Indonesia dan Hong Kong menggunakan perkhidmatan kurier.
“Sindiket ini juga dipercayai mula aktif sejak November 2024. Kedua-dua suspek menerima upah untuk menyimpan dadah tersebut dengan bayaran RM26,900 dan mengikut berat barang terlarang itu,” katanya.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, kedua-dua suspek tersebut positif dadah methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang dari 12 sebatan,” katanya.
Menurutnya, 269 bungkus plastik yang berisi dadah tersebut boleh merosakkan seramai 1 juta penagih dadah.
“JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.
“JSJN tekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline kami di talian 012-208 7222,” katanya. – MalaysiaGazette