SIBU – Seorang penjawat awam wanita menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan kerugian lebih RM600,000.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataan berkata, kejadian bermula pada awal Mac lepas ketika mangsa yang berusia lewat 40-an itu melayari Facebook di rumahnya dan tertarik dengan satu iklan pelaburan daripada syarikat dikenali sebagai “XGI Horizontal”.
Tertarik dengan janji syarikat tersebut untuk memberikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, mangsa kemudiannya berhubung dengan individu yang mengaku sebagai wakil syarikat menerusi aplikasi WhatsApp.
“Terperdaya dengan janji pulangan tinggi, mangsa telah melakukan beberapa transaksi secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek, melibatkan jumlah keseluruhan lebih RM600,000,” katanya.
Mangsa menyedari ditipu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan dan tiada sebarang keuntungan diterima seperti yang dijanjikan.
Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan di media sosial dan sentiasa melakukan semakan sebelum membuat sebarang pelaburan.
“Maklumat lanjut juga boleh diperoleh di laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di www.sc.com.my atau melalui talian 03-6204 8999,” menurut kenyataan itu. – Bernama