KUALA LUMPUR – Apabila Luis Garcia dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Johor Darul Ta’zim (JDT) awal bulan ini, beliau turut membawa pengalamannya sebagai pemain bola sepak di Sepanyol dan England, serta kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA bersama Liverpool dua dekad lepas.
Namun, antara perkara yang menarik perhatiannya di JDT adalah sesuatu yang sangat menonjol, tidak lain dan tidak bukan mengenai pemain sayap muda sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi.
Pada usia 22 tahun, Arif Aiman menjadi simbol bakat bola sepak tempatan, memukau peminat dengan kepantasannya yang luar biasa, kemahiran mengagumkan dan kematangan melebihi usianya.
Garcia berkata pemain yang meraih tiga anugerah Pemain Paling Bernilai berturut-turut dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan itu membuktikan kehebatannya sebagai seorang pemain yang menggabungkan bakat semula jadi, daya tahan di bawah tekanan dan potensi besar.
“Saya rasa Arif Aiman adalah bakat muda yang sangat menyerlah. Dia mula bermain di peringkat tertinggi pada usia muda dan sudah tentu ia memberikan tekanan. Namun, dia berjaya mengatasinya dan kini menjadi antara pemain terbaik di Malaysia.
“Dalam zaman bola sepak yang semakin pantas hari ini, memiliki pemain yang boleh beraksi dalam situasi satu lawan satu, menjaringkan gol dan bermain di posisi berbeza adalah sesuatu yang sangat penting dan dia memiliki ciri-ciri itu,” katanya kepada media Malaysia baru-baru ini.
Dengan potensi luar biasa yang dimiliki, bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu berkata tidak hairanlah pencari bakat dari kelab lain sentiasa mengintai kelibat Arif Aiman.
Garcia berkata walaupun semakin menjadi tumpuan, perjalanan karier Arif Aiman masih di peringkat awal.
“Dia baru berusia 22 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari tetapi dia adalah seorang pemain yang kami sangat teruja untuk melihat masa depannya,” katanya.
Arif Aiman merekodkan 147 penampilan dan menjaringkan 52 gol sepanjang lima musim bersama skuad Harimau Selatan, satu pencapaian luar biasa bagi pemain sayap.
Dia juga melakukan 33 penampilan bersama skuad Harimau Malaya setakat ini, meledakkan tujuh gol dan 10 bantuan jaringan, sekali gus membuktikan bahawa dia boleh menyerlah di luar liga domestik. – BERNAMA