TANGKAP layar berkenaan isu pakaian seragam Pos Malaysia Bhd yang tular di media sosial. - SUMBER MEDIA SOSIAL

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer dengan rendah diri telah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan syarikat itu yang terkesan susulan isu pakaian pekerja yang rosak seperti yang tular di laman sosial.

Pos Malaysia Berhad dalam kenyataan malam ini berkata, Brewer juga memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.

Katanya, Brewer dengan jujur mengakui maklum balas beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat, berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira.

“Dengan penuh ikhlas, kami ingin mengakui dan menangani isu yang dibangkitkan melalui hantaran di media sosial baru-baru ini, yang merujuk kepada isu dalaman pada 19 Mac 2025 melibatkan pakaian seragam yang rosak.

“Kami telah mengambil tindakan segera dengan berkomunikasi secara langsung dengan kakitangan yang terlibat, dan isu ini telah berjaya diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihaknya sedang menambah baik proses dalaman untuk memastikan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur.

“Komitmen ini dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya.

Brewer sebelum ini menjadi perhatian pengguna media sosial susulan maklum balas beliau berhubung aduan seorang Pos Wira atau posmen mengenai baju seragam yang terkoyak.

Pekerja berkenaan menerusi media sosial bertanyakan soalan berkenaan bila dia akan mendapat pakaian seragam ganti memandangkan pakaian seragamnya yang koyak telah mendapat teguran daripada pelanggan.

Bagaimanapun, Brewer dalam reaksi kepada pertanyaan itu menerusi media sosial berkata, kakitangan berkenaan sepatutnya berasa bertuah kerana tidak bekerja dengan syarikat penghantaran dari luar negara yang langsung tidak menyediakan pakaian seragam kepada pekerja mereka.

Maklum balas Brewer itu bagaimanapun tular di media sosial dan mengundang rasa kurang senang netizen termasuk yang mempersoalkan tahap profesionalisme beliau dalam menangani aduan daripada kakitangan sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here