Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mempertahankan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung kenyataan parti bukan agama.

Menurut Mohd. Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, beliau melihat terdapat pihak tertentu cuba memprovokasikan apa yang disebut Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Jelas beliau, seseorang Muslim boleh berbeza parti tetapi bukan berbeza agama iaitu Islam dan menjadi agenda besar kepada setiap Muslim untuk mempertahankan agama Islam.

“Saya tegaskan lagi apa yang disebut oleh SU Agung (Asyraf Wajdi) bahawa parti atapun NGO bukannya agama tetapi ia adalah kelompok yang ditubuhkan untuk menegakkan agama dengan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook hari ini.

Menurut Mohd. Khairuddin, UMNO sendiri meletakkan di dalam artikel tiga perlembagaannya bahawa parti mendukung cita-cita agama Islam untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam.

Jelasnya, ia adalah sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan negara yang mana Islam merupakan agama bagi Persekutuan.

“Justeru, umat Islam boleh berbeza parti dan mempunyai berbilang parti dan NGO tetapi agamanya satu sahaja iaitu Islam.

“Dalam kontek demokrasi parti ditubuhkan untuk menjadi medium mendapatkan kuasa yang bertujuan untuk melaksanakan dua kewajipan iaitu menegakkan agama dan mentadbir negara dengan agama,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam di negara ini hari ini berbeza dalam pelbagai parti namun apa yang menyatukan mereka ialah agama Islam.

“Justeru, perlu ada batasan dalam berpolitik kepartian dengan menjadikan Islam sebagai panduan dengan menjaga akhlak mulia, tidak saling mengutuk dan mengecam tetapi saling menegur dengan bahasa yang baik dan saling berbalas pandangan dan idea yang berbeza,” katanya.

Semalam, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata, parti politik termasuk UMNO bukan sesuatu yang bersifatkan agama.

Ini kerana, kata beliau, parti politik adalah sebahagian daripada proses untuk memilih pemimpin dalam dunia hari ini menggunakan sistem demokrasi.

Bagaimanapun, beberapa pihak dilihat cuba memprovokasikan kenyataan Asyraf Wajid itu termasuk dengan menggambarkan seolah-olah beliau meletakkan parti politik melebihi agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here