Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) berasama dengan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaya Prof Ir Dr Kaharudin Dimyat (dua kiri) dan Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia (MASM) Dr Arshad Puji (dua kanan) bersama tetamu yang hadir ketika hadir pada Majlis penutupan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 19 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Perubatan sukan kini bukan lagi hanya untuk atlet berprestasi tinggi sebaliknya perlu dimanfaatkan oleh seluruh lapisan masyarakat sebagai sebahagian daripada pendekatan pencegahan dan kesejahteraan menyeluruh.

Malah ia berpotensi menjadi salah satu strategi utama negara menangani peningkatan penyakit tidak berjangkit serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bidang perubatan sukan wajar diangkat sebagai sebahagian daripada agenda kesihatan awam negara dan tidak lagi dilihat sebagai niche atau bersifat eksklusif kepada sukan berprestasi tinggi semata-mata.

“Perubatan sukan mesti merentasi kelompok berprestasi tinggi. Kita mahu merakyatkan bidang ini supaya seluruh rakyat dari kanak-kanak hingga warga emas mendapat manfaatnya,” katanya ketika menyempurnakan penutupan Malaysian Sports Medicine Symposium 2025 di Universiti Malaya hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kanan) menyampaikan ucapan ketika hadir pada Majlis penutupan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 19 APRIL 2025

Tambah Dr Dzulkefly, pendekatan pencegahan kini menjadi keutamaan utama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani krisis kesihatan yang semakin kompleks khususnya berkaitan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, kolesterol dan obesiti.

“Kalau saya terus tangani isu sick care tanpa transformasi, kita akan sentiasa dalam krisis. Pencegahan adalah jalan ke hadapan,” tegasnya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) meluangkan masa melawat ruang pameran ketika hadir pada Majlis penutupan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 19 APRIL 2025

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada Universiti Malaya (UM) sebagai satu-satunya institusi di Malaysia yang menawarkan dua program akademik penting  iaitu Sarjana Perubatan Sukan dan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan.

Katanya, usaha itu memberi sumbangan besar dalam pembangunan sumber manusia yang berorientasikan kesihatan prestasi dan pencegahan.

“Antara inisiatif besar sedang dilaksanakan oleh KKM termasuk kempen Putrajaya Sihat Sejahtera yang memperkenalkan pelbagai program kesihatan dan kecergasan kepada penjawat awam, antaranya cabaran 10,000 langkah sehari, saringan kesihatan, aktiviti aerobik dan senaman komuniti.

“KKM juga sedang Akta Good Samaritan yang bertujuan melindungi orang awam yang tampil memberikan bantuan kecemasan sewaktu kejadian seperti serangan jantung mengejut.

“Dalam masa yang sama lebih 200 unit Automated External Defibrillator (AED) akan ditempatkan di lokasi-lokasi tumpuan awam hasil sumbangan pihak industri,” katanya lagi.

Ucapan Dr Dzulkefly juga menyentuh cabaran Malaysia sebagai negara menua menjelang 2035 yang menjelaskan penjagaan kesihatan warga emas perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dan tidak hanya bergantung kepada rawatan klinikal.

Beliau menekankan keperluan kepada pemerkasaan komuniti, penjagaan kendiri dan pemupukan amalan hidup aktif sejak awal.

“Kita mahu rakyat hidup lebih lama tetapi yang lebih penting ialah hidup dengan kualiti. Ini bermula dengan pelaburan awal dalam pencegahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here