JAKARTA – Program Car Free Day (CFD) atau Hari Tanpa Kenderaan bukanlah asing di negara-negara ASEAN.
Namun pelaksanaannya di Malaysia dan Indonesia menunjukkan pendekatan dan skala yang agak berbeza mengikut matlamat serta struktur pentadbiran masing-masing.
Jelas warga Malaysia, Arif Iskandar Sufian, Car Free Day merupakan gerakan nasional yang dianjurkan hampir setiap minggu di bandar-bandar utama seperti Jakarta, Bandung, Surabaya dan wilayah Bodetabek.
“Car Free Day di sini lagi besar dan popular dan lebih ramai orang datang ke sini untuk sertai, kalau di Kuala Lumpur tidak ramai sangat.
“Di sini ada ramai orang Sunda, Bali datang semata-mata untuk sertai program ini,” katanya yang sudah tujuh tahun berada di Jakarta.
Dari lensa MalaysiaGazette, penganjurannya dilihat lebih besar apabila laluan utama seperti Jalan Jenderal Sudirman dan Jalan MH Thamrin ditutup kepada kenderaan bermotor setiap Ahad dari pukul 6 hingga 11 pagi.
Car Free Day merupakan program mingguan yang menyaksikan penutupan sementara jalan-jalan utama daripada laluan kenderaan bermotor, bagi memberi ruang kepada masyarakat menjalankan pelbagai aktiviti riadah dan sosial.

Berbeza dengan Alia Raihana Omar, 16 yang menjadikan Car Free Day sebagai platform untuknya dan rakan-rakannya memperkenalkan busana tradisional Ponorogo yang akan diperagakan mereka dalam pertandingan pakaian tradisional negara itu di Korea Selatan, Mei depan.
“Ini adalah simulasi kita untuk pertandingan di Korea Selatan dimana program ini merupakan latihan buat pasukan kami. Kita akan ada tarian dan bertujuan untuk mencari dana untuk kamu memasuki pertandingan tersebut,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan turut bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat bagi menjayakan program tersebut setiap minggu.
Manakala di Malaysia, konsep Car Free Day masih dijalankan namun dalam skala yang lebih kecil dan tidak begitu kerap.
Sebagai contoh, Kuala Lumpur Car Free Morning diadakan sebulan sekali oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari Ahad pertama setiap bulan juga melibatkan penutupan beberapa jalan di sekitar pusat bandar.
Program seumpama turut diadakan di bandar-bandar lain seperti Ipoh, Shah Alam dan Johor Bahru namun jauh bezanya dengan di sini ia biasanya berbentuk acara khusus dan bukan rutin mingguan semata-mata.
Car Free Day turut menarik pasangan dari luar Jakarta yang datang semata-mata untuk menyertai program minggu ini.
Darman Syah dan isteri dari Kalimantan berkata program seumpama ini tidak harus dilepaskan yang merupakan acara terbesar diadakan di bandaraya ini.
“Kami datang dari luar Jakarta, jadi ada aktiviti di sini dan juga untuk bercuti. Di sini paling besar, jadi ramai penduduk datang ke sini untuk bercuti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dari segi penyertaan, Indonesia mencatatkan angka kehadiran puluhan ribu peserta pada setiap sesi Car Free Day. – MalaysiaGazette