KUALA LUMPUR – Muktahir ini isu kesilapan pada Jalur Gemilang bagaikan berjangkit-jangkit.
Ia dilihat sangat mudah dengan hanya permohonan maaf berserta menjalankan siasatan dalaman.
Apakah sementara menunggu pihak kerajaan dengan keputusan terhadap apa yang berlaku pada syarikat akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily, perkara sebegini akan terus berlarutan?
Dalam pada itu, sejak isu ini timbul, tidak dilihat mana-mana pemimpin Cina di negara ini baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang yang bersuara.
Perkara itu dibangkitkan oleh Pakar Bahasa dan Perpaduan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, pemimpin Cina di negara ini lebih menumpukan kepada perkara berkaitan kemakmuran ekonomi berbanding sosial.
“Saya ambil contoh mengenai pencerobohan tanah durian yang mana mahkamah telah memutuskan ia adalah tanah haram tetapi pemimpin Cina bersuara sedangkan ia tahu salah.
“Apabila melibatkan kemakmuran ekonomi mereka bersuara tetapi kemakmuran sosial, tidak pula begitu. Jadi ini adalah antara satu aspek rakyat kita yang sikapnya begitu acuh tak acuh, tak mahu peduli sangat tentang negara ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG yang membawakan tajuk Salah Jalur Gemilang: Tiada Maaf Bagimu bersama seorang lagi panel jemputan iaitu Zee How Tai yang merupakan sorang peguam.
Kok Seong yang juga merupakan Felo Majlis Profesor Negara berkata, sesuatu harus dilakukan agar perkara itu tidak berlarutan.
“Pemimpin Cina ini saya lihat hanya bersandar kepada perjuangan pemimipin mereka sahaja. Sehingga ke hari ini, tidak ada yang bercakap mengenai perkara ini.
“Seharusnya mereka tampil untuk bercakap soal ini, sekurang-kurangnya meredakan ketegangan yang berlaku, kerana ini adalah isu negara dan soal jati diri,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, sejak dulu lagi inilah sikap yang kurang menyenangkan yang ditunjukkan oleh pemimpin Cina.
“Perlu ada perubahan paradigma terhadap perkara ini. Mereka harus mengimbangi kemakmuran ekonomi dan sosial. Tak ada gunanya kalau negara kita maju tetapi masih ada rakyat yang tidak relevan kepada negara ini dari segi sosial.
“Ada antara rakyat kita yang masih tidak boleh berbahasa negara ini dengan baik serta tidak ada jati diri kebangsaan,” ujarnya.
Selepas dua akhbar ‘tersilap’ pada Jalur Gemilang dengan satunya ketiadaan bulan sabit dan satu lagi hanya 13 bucu kini muncul satu lagi yang turut memembuat kesilapan sama iaitu ketiadaan bulan sabit.
TCE Baby Expo membuat permohonan maaf susulan insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulat sabit di belakang pentas melibatkan salah satu pempamernya.
Penganjur expo jualan barangan bayi itu berkata, pihaknya mengakui ia merupakan isu sensitif yang menyinggung rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette