KUALA LUMPUR – Seorang pakar perlembagaan menyifatkan penyiaran Jalur Gemilang yang ‘cacat’ merupakan tindakan tidak munasabah lebih-lebih lagi ia diterbitkan oleh organisasi media yang telah lama beroperasi di negara ini.
Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, insiden tersebut bukan isu terpencil kerana penyiarannya dibuat pada muka hadapan bukan halaman tersorok yang menyukarkan ia dilihat oleh pembaca.
“Penyiaran bendera (Jalur Gemilang) yang `cacat’ merupakan kesalahan serius kerana ia sudah tentu melalui proses tertentu dalam organisasi berkenaan.
“Dalam kerangka yang lebih luas, perbuatan itu merupakan manifestasi yang melambangkan sikap organisasi tersebut.

“Kita lihat ada beberapa pihak yang secara berperingkat tapi berterusan cuba mencabar kedudukan agama Islam dan jati diri negara ini yang menjadi teras kepada kewarganegaraan Malaysia,” ujarnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pakar undang-undang itu ditanya mengenai kemelut penerbitan Jalur Gemilang yang tidak lengkap ekoran ketiadaan simbol bulan sabit yang merupakan lambang agama Islam di negara ini.
Wan Ahmad Fauzi selanjutnya menjelaskan, isu Jalur Gemilang merupakan manifestasi kepada cintakan tanah air iaitu nasionalisme dan patriotisme.
Katanya, kejadian yang berlaku bukan melibatkan orang lain tetapi warganegara dan syarikat yang dimiliki oleh warganegara yang berdaftar dengan undang-undang Malaysia.
Beliau menjelaskan, apa yang cuba digambarkan itu bukan sekadar bendera semata-mata kerana yang lebih penting Jalur Gemilang yang tidak cukup sifat itu diletakkan bersama-sama bendera negara China ketika lawatan Presidennya, Xi Jinping beberapa hari lalu.
“Perkara seperti ini tidak boleh didiamkan dan perlu dilihat melalui pandangan jauh. Saya mencadangkan lesen akhbar ini digantung untuk tempoh tertentu.
“Ia bukan sesuatu yang tidak disengajakan kerana setiap akhbar mempunyai `emikiran organik’ atau tasawwurnya sendiri yang akan disampaikan berdasarkan objektif, polisi dan kerangka pemikirannya.
“Tidak munasabah seseorang warganegara tidak mengetahui kedudukan lambang dalam Jalur Gemilang. Bagaimana kita mengaku sebagai warganegara? Perbuatan ini serius,” ujarnya.
Isu penyiaran Jalur Gemilang yang tidak lengkap mencetuskan bantahan umum apabila rata-rata menyifatkan perbuatan itu tidak masuk akal dan berselindung di sebalik agenda tertentu.
Terbaharu, pengeluar makanan bayi, Singapore Lactation Bakes (SLB), tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap dalam video pelancarannya untuk SLB Malaysia.
SLB menyertai pameran perdagangan produk bayi di pusat pameran sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily turut memohon maaf kerana mendakwa tersilap memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka depan edisi Selasa lalu.
Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan siasatan terhadap Kwong Wah Yit Poh yang memuat naik imej Jalur Gemilang tidak sempurna dalam satu hantaran Facebook yang memaparkan muka hadapan edisi petangnya pada Selasa lalu. – MalaysiaGazette