SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam tidak menganiaya jemaah dengan menawarkan pakej ibadat haji palsu.
Seri Paduka bertitah, ia kerana perbuatan tersebut dilarang di dalam Islam dan berharap balasan setimpal bakal dikenakan terhadap sindiket haji palsu.
“Beta berharap tiada lagi jemaah haji ditipu oleh ejen tidak bertauliah. Jemaah haji juga diingatkan jangan menggunakan agensi lain yang boleh tertipu dan terpedaya.
“Beta berharap tiada lagi jemaah haiji ditipu oleh ejen tidak bertauliah,” titah Seri Paduka pada majlis perasmian penutup Kursus Perdana Haji 1446H/2025M Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi ini.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kira-kira jam 10.13 pagi.
Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jemaah haji dari Selangor untuk menjaga nama baik negeri dan negara semasa berada di tanah suci.
“Jemaah Haji Malaysia dan Selangor perlu berdisiplin dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
“Jemaah Haji Selangor dan Malaysia diingatkan tidak terlibat dalam sebarang bantahan dan demostrasi semasa di Makkah dan Madinah,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette