KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor telah mengarahkan ahli Exco terlibat menangani isu banjir kilat di Sri Muda, Shah Alam.
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Exco Infrastruktur Negeri Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim akan mengenal pasti tindakan pada kadar serta merta sebagai susulan dari semua mekanisme pencegahan yang telah kerajaan negeri termasuk bertemu dengan penduduk yang terkesan oleh bencana banjir kilat yang berlaku.
“Saya mengambil maklum akan insiden susulan yang berlaku di Sri Muda, Shah Alam rentetan hujan lebat yang berlaku beberapa hari kebelakangan ini.
“Saya memahami kegusaran dan kegelisahan para penduduk Taman Sri Muda akibat dari peristiwa banjir kilat yang berlaku ini. Penyelesaian jangka panjang harus dilaksanakan secepat mungkin dan kerjasama semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan amat penting agar peristiwa hitam banjir besar 2021 tidak berulang lagi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Amirudin, kerajaan negeri komited memastikan supaya isu itu dapat ditanggapi dengan cermat dan penyelesaian menyeluruh supaya sebarang insiden tidak diingini dapat ditangani sewajarnya dan dapat dikurangkan kesannya kepada penduduk yang terjejas.
“Sebagai permulaan, Setiausaha Politik saya, Saifuddin Shafi untuk memanggil mesyuarat koordinasi segera esok melibatkan semua pihak termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dan Jabatan Pengairan dan Saliran agar isu ini dapat ditangani segera,” katanya.
Sebelum ini ekoran hujan lebat, banjir kilat kembali melanda Taman Sri Muda.
Sementara itu, laporan Malaysiakini, sekumpulan penduduk Taman Sri Muda hari ini nekad berangkat ke Tapah, Perak demi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor bagi menuntut penyelesaian isu banjir yang sekian lama menghantui penempatan mereka.
Keputusan itu diambil selepas mereka dimaklumkan tentang kehadiran Amirudin di Tapah hari ini sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning. – MalaysiaGazette