Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) peringkat cabang kali ini menyaksikan kejutan besar apabila ramai tokoh utama dikatakan dari kem timbalan presiden parti, Datuk Seri Rafizi Ramli tewas.

Ia termasuk di kawasan-kawasan yang sebelum ini dianggap kubu kuat beliau.

Di Selangor, negeri di mana Rafizi bertapak sebagai pimpinan cabang, beberapa calon rapat beliau seperti Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung gagal memperkukuh kedudukan Rafizi apabila tewas di kawasan masing-masing.

Menurut sumber daripada seorang pemimpin tertinggi parti, apa yang berlaku memberi isyarat pengaruh Rafizi dalam struktur akar umbi PKR semakin goyah.

Katanya, kekalahan mengejut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam,  Nik Nazmi Nik Ahmad di Setiawangsa semalam kepada Datuk Afdlin Shauki menambah lagi deretan kekalahan kem Rafizi meskipun Setiawangsa selama dua penggal menjadi kawasan kuat Nik Nazmi.

“Di Negeri Sembilan, calon-calon pro-Rafizi juga gagal mencipta impak manakala Perak pula lebih berpihak kepada kumpulan pro-Presiden.

“Dalam situasi ini, kekuatan peribadi Rafizi belum cukup untuk melonjakkan kemenangan pasukannya peringkat akar umbi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sambungnya, keadaan yang sama menjadikan situasi di satu lagi kubu Rafizi iaitu di Johor mula kelihatan goyah.

Ia kerana keputusan sehingga semalam memperlihatkan satu corak pengundian yang tidak lagi berpaksikan pengaruh tokoh tetapi lebih kepada kehendak perubahan dari bawah.

“Nasib tiga ahli Parlimen pro Rafizi iaitu Akmal Nasir yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

“Nasib mereka petang ini menjadi persoalan susulan kekalahan besar kem Timbalan Presiden PKR itu dalam pemilihan cabang sekali gus mencerminkan kemungkinan pengaruh mereka turut terjejas,” ujarnya.

MalaysiaGazette juga difahamkan Sabah juga tidak menjanjikan keselesaan buat Rafizi selepas melihat pola pengundian di Semenanjung kerana anggota di negeri itu dijangka menghantar isyarat yang sama apatah lagi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang semakin hampir.

Ini sekaligus menimbulkan persoalan, adakah ahli menghantar isyarat penolakan terhadap gaya politik elit dalam parti yang mula mengabaikan akar umbi atas alasan menumpukan hal pentadbiran kerajaan?

Kesimpulannya kekalahan demi kekalahan kem Rafizi di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan menggambarkan satu realiti baharu pengaruhnya dalam parti kini diuji dan ruang kepimpinan menjelang 2028 mungkin terbuka lebih luas kepada wajah-wajah baharu yang lebih diterima dan rapat dengan akar umbi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri, Timbalan Menteri antara yang kecundang dalam pemilihan Ketua Cabang PKR

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here