BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand telah menahan seorang eksekutif China di sebuah syarikat yang sedang membina bangunan pencakar langit Bangkok.
Tangkapan itu susulan runtuhan bangunan pencakar langit dalam gempa bumi kuat melanda negara ini yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terkorban.
Menara 30 tingkat itu menjadi timbunan runtuhan yang sangat besar apabila gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda negara jiran Myanmar bulan lalu, mengorbankan 47 orang di tapak pembinaan dan menyebabkan hampir 50 lagi hilang.
Menteri Kehakiman, Tawee Sodsong dalm siding media berkata, Mahkamah Thai telah mengeluarkan waran tangkap untuk empat individu, termasuk tiga warga Thailand di China Railway No.10 kerana melanggar Akta Perniagaan Asing.
China Railway No.10 adalah sebahagian daripada usaha sama dengan firma Itali-Thai untuk membina menara Pejabat Audit Negara sebelum runtuh.
Jabatan Siasatan Khas, yang berada di bawah kementerian kehakiman dalam satu kenyataan memberitahu, salah seorang daripada empat individu itu telah ditangkap – seorang “wakil syarikat” China yang mereka namakan sebagai Zhang.
Zhang disenaraikan sebagai pemegang saham 49 peratus dalam firma itu, manakala tiga warga Thailand itu mempunyai 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu.
Tetapi Tawee memberitahu: “Kami mempunyai bukti … bahawa ketiga-tiga warga Thailand itu memegang saham untuk pemegang bebas asing yang lain”.
Akta Perniagaan Asing mengatakan orang asing boleh memegang tidak lebih daripada 49 peratus saham dalam syarikat.
Secara berasingan, Tawee berkata, beberapa siasatan berkaitan keruntuhan sedang dijalankan, termasuk kemungkinan penipuan bidaan dan penggunaan tandatangan palsu jurutera dalam kontrak penyelia pembinaan.
Awal bulan ini pegawai keselamatan Thai berkata, ujian rebar keluli yang digunakan untuk mengukuhkan konkrit – dari tapak mendapati beberapa logam yang digunakan adalah substandard.
Bangunan pencakar langit itu adalah satu-satunya bangunan utama di ibu negara yang tumbang dalam bencana gempa bumi 28 Mac mengorbankan lebih 3,700 orang di Thailand dan negara jiran Myanmar. – Agensi