KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan menyerahkan notis tuntutan permohonan maaf, penarikan balik tuduhan dan bayaran ganti rugi pernyataan fitnah kepada selebriti yang merupakan penduduk asal Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim susulan video yang dimuat naiknya di aplikasi TikTok sebelum ini.
Menurut Khalid Samad, menerusi video tersebut Rafidah mendakwa beliau pernah berkata mahu memansuhkan Lembaga Pentadbiran MAS (Kawasan Penempatan Pertanian Melayu – Malay Agricultural Settlement), sekali gus ingin menghapuskan seluruh Kampung Baru dan tanah rizab Melayu di kawasan tersebut.
“Dia (Rafidah) ni hebat dia boleh baca niat orang. Sebenarnya Lembaga Pentadbiran MAS merupakan badan yang telah ditubuhkan sebelum Wilayah Persekutuan diserahkan oleh kerajaan negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan. Selepas itu peranannya diganti oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru… Ini sejarah yang perlu difaham.
“Tetapi tuduhannya saya nak hapuskan keseluruhan Kampung Baru bukan sekadar itu termasuk tanah rizab Melayu. Kenyataannya (Rafidah) pun mengelirukan apabila kata tanah rizab Melayu dengan Kampung Baru. Ini lain,” katanya pada sidang media di Kampung Baru, hari ini.
Khalid yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata, kenyataan Rafidah merupakan tuduhan liar yang tidak benar.
“Daripada dulu saya bangkitkan isu Kampung Baru ini adalah berkaitan nilai pampasan ini yang saya pertikaikan dan para pemilik tanah,” ujarnya.
Terdahulu katanya, surat tuntutan bertarikh 17 April dihantar melalui peguam yang mewakilinya daripada Hisham Fauzi & Associates.
“Saya harap dia akan jawab atau bersiap sedia untuk bertemu di mahkamah kerana tuduhannya sangat liar yang tidak ada kena mengena pun dengan isu sebenar daripada dulu yang dipertikaikan adalah isu nilai pampasan,” ujar beliau.
Sementara itu, Khalid mendakwa, pelakon tersebut kini cuba menimbulkan naratif baru apabila dilihat sering menyebelahi bekas Menteri Wilayah Persekutuan yang kini berada dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Namun kata Khalid, kedua-dua individu tersebut sehingga kini gagal memberi penjelasan berhubung pampasan tanah di Kampung Baru. – MalaysiaGazette