KUALA LUMPUR – Hospital Medan Malaysia (HMM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Operasi Bantuan Kemanusiaan (Op STARLIGHT III) mula beroperasi bermula hari ini bermula 8.20 pagi waktu Myanmar (9.50 pagi waktu Malaysia) di daerah Sagaing, antara kawasan paling terjejas akibat gempa bumi.
Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi kenyataan berkata, HMM Tahap Dua yang diuruskan Tim Op STARLIGHT III itu mampu melaksanakan pelbagai bentuk rawatan kritikal termasuk prosedur pembedahan dan penjagaan pesakit secara menyeluruh.
“Antara keupayaan HMM Tahap Dua termasuklah pelaksanaan dua pembedahan secara serentak pada satu-satu masa,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, HMM itu turut menyediakan perkhidmatan klinik pesakit luar di mana perkhidmatannya dijangka menerima sekitar 80 ke 100 pesakit luar dari kalangan penduduk sekitar.
“Perkhidmatan ini juga turut dibantu oleh tiga pegawai perubatan dari Hospital Sagaing,” tambahnya.
Sejak pengoperasiannya bermula HMM menerima aliran pesakit tanpa henti dari kawasan sekitar dan beberapa daripadanya dirujuk oleh Hospital Sagaing.
Malah Tim Op STARLIGHT III telah berjaya melaksanakan pembedahan pertama pada pukul 10.30 pagi waktu Myanmar (12.00 tengah hari waktu Malaysia).
Terdahulu menurut kenyataan itu, HMM tersebut mempunyai 20 buah katil selain dilengkapi kemudahan seperti wad, bilik pembedahan, unit rawatan rapi, radiologi, makmal termasuk dua kepakaran iaitu pembedahan am dan ortopedik.
Terdahulu pembukaan HMM tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Wilayah Sagaing, Myint Naing dan Panglima Biro Operasi Khas bagi Wilayah Yangon, Leftenan Jeneral Thet Pon.- MalaysiaGazette