PEMERIKSAAN saluran paip gas di Malaysia kini memasuki era baharu apabila teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) yang dilengkapi dengan sistem Light Detection and Ranging (LiDAR) mula digunakan secara lebih meluas dalam memastikan tahap keselamatan dan kecekapan operasi berada pada tahap tertinggi. Kajian yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar Kuantan, Pahang oleh sekumpulan penyelidik dari Center of Applied Geomatics and Disaster Prevention (CAGeD) mendapati teknologi UAV LiDAR mampu mengenal pasti risiko geobahaya seperti tanah runtuh, hakisan dan masalah saliran dengan lebih cepat dan tepat berbanding kaedah tradisional.
Teknologi itu bukan sahaja menjimatkan masa dan kos pemeriksaan, malah mampu mengesan kawasan berisiko tinggi sebelum berlakunya kerosakan, sekali gus membolehkan tindakan mitigasi diambil lebih awal. Menurut penyelidik yang menjalankan kajian tersebut, data yang dikumpul melalui UAV LiDAR membolehkan pemetaan kawasan sekitar saluran paip dijalankan secara menyeluruh, termasuk mengenal pasti cerun berisiko tinggi seperti kawasan yang melebihi sudut 35 darjah.
Kawasan cerun tinggi berisiko mengalami tanah runtuh, manakala corak saliran yang tidak efisien boleh menyebabkan pengumpulan air dan seterusnya mengundang kakisan pada paip gas. Hasil analisis seterusnya divisualisasikan melalui sistem maklumat geografi (GIS), yang membolehkan peta dan model 3D dibina bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan tindakan lanjut.
Insiden letupan paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor pada 1 April lalu menjadi satu contoh nyata kepentingan pemantauan proaktif terhadap sistem saluran paip negara. Letupan yang menyebabkan gegaran kuat dan kebakaran besar itu dipercayai berpunca daripada kegagalan struktur yang mungkin berkait rapat dengan tekanan tanah dan perubahan geoteknikal persekitaran.
Kejadian tersebut mengundang kebimbangan ramai dan memperlihatkan keperluan mendesak bagi pendekatan pemantauan berasaskan teknologi, seperti UAV LiDAR, untuk mengenal pasti tanda-tanda awal ketidakstabilan tanah di sepanjang laluan paip. UAV LiDAR berpotensi mengesan perubahan halus pada permukaan tanah serta pergerakan bawah tanah yang mungkin tidak dapat dikesan dengan pemeriksaan manual konvensional.
Teknologi UAV LiDAR bukan sahaja digunakan di Malaysia. Di peringkat antarabangsa, negara seperti Norway dan China turut menggunakan sistem sama untuk pemantauan bencana alam. Di Norway, UAV LiDAR digunakan untuk mengesan risiko runtuhan salji di kawasan pergunungan Trollstigen, manakala di Ordos, China, ia membantu memantau pergerakan tanah di kawasan perlombongan.
Dalam projek pemetaan jalan raya di kawasan sempadan Malaysia, UAV LiDAR berjaya memetakan kawasan seluas 150 kilometer persegi dengan ketepatan menegak hanya 5.51 sentimeter, membuktikan ketepatan teknologi ini dalam pemantauan geoteknikal. Kajian turut mengesyorkan agar penggunaan UAV LiDAR dijadikan sebahagian daripada prosedur pemeriksaan rutin saluran paip gas, khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko geobahaya yang tinggi.
Langkah seperti pembangunan sistem saliran yang lebih baik dan penstabilan cerun juga disarankan bagi mengurangkan kemungkinan berlakunya hakisan yang boleh mengganggu kestabilan struktur saluran paip. Penggunaan teknologi ini dijangka bukan sahaja mampu mengurangkan kerosakan saluran paip, malah memberi impak positif terhadap keselamatan tenaga, alam sekitar, serta mengelakkan kerugian ekonomi akibat kebocoran gas atau kegagalan struktur.
Oleh: Profesor Madya Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah
Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi
Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad
Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia