TAPAH – Tindakan mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin yang menyertai Pas tidak memberi sebarang kesan kepada UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ia kerana parti itu sudah lali dengan tindakan ahli yang ‘melompat’ parti termasuk apabila berlakunya sesuatu pilihan raya.

Katanya, UMNO juga mempunyai pengalaman berhadapan dengan situasi kepimpinan tertinggi yang bertukar parti seperti Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta Tan Sri Annuar Musa.

“Apa bezanya dengan Annuar Musa yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO? Apa bezanya dengan Shahidan yang pernah menjawat jawatan Menteri Besar Perlis ketika kerajaan negeri dipimpin Barisan Nasional (BN).

“Tetapi apabila mereka menyertai Pas, ia tidak bawa perubahan. Bahkan kita boleh rampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di negeri Pas (Kelantan) sendiri.

“Walaupun Annuar ketika itu adalah Pengarah Pilihan Raya, tetapi kita boleh menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jom Belajar: Pelajar Sekolah DUN Ayer Kuning – Tabung Pendidikan Melayu di Kampung Tanjung Keramat, Tapah Road, dekat sini hari ini.

Mohd Puad bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut tentang perkara berkenaan kerana menyifatkan tindakan Wan Norashikin itu sebagai hak peribadinya.

“Saya tidak mahu memperkecilkan Wan Norashikin tetapi saya yakin tindakannya itu tidak membawa sebarang kesan (kepada UMNO).

“Pada saya, secara moral kalau hendak melompat (bertukar parti) tak perlu pilih waktu macam ini (Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning).

“Namun saya dan jentera UMNO tidak membincangkan perkara ini kerana itu hak dia. Saya hanya menjawab apabila wartawan bertanyakan kepada saya,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Pas mengumumkan Wan Norashikin menyerahkan borang keahlian kepada Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) sempena PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini.

Bekas ADUN dan Exco Perak dari UMNO itu hadir mengenakan jubah dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal.

Dalam perkembangan lain Mohd Puad berkata, beliau yakin gerak kerja jentera BN dan Pakatan Harapan di PRK DUN Ayer Kuning akan dapat membantu memenangkan calon, Dr Mohamad Yusri Bakir.

Kata beliau, ini kerana kerjasama jentera dua parti itu dalam beberapa siri PRK sebelum ini telah berjaya membuahkan hasil yang positif.

“Kita berjaya meneruskan naratif yang berlaku di PRK DUN Mahkota kepada di Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan ini suatu perkembangan yang baik.

“Saya melihat sendiri di bagaimana jentera DAP bersungguh-sungguh membantu calon kita di PRK Mahkota, dan berlaku juga perkara sama di PRK Ayer Kuning,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here