KUALA LUMPUR – Tiga dusun durian dengan keluasan 897 ekar dianggarkan bernilai RM223.6 juta, sebuah kilang memproses kelapa sawit serta hotel antara aset baharu yang disita dalam skim penipuan pelaburan ‘Ponzi Scheme’ atau ‘Pelaburan MBI’.
Tindakan sitaan itu dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Ketua Polis Negara (USKPN) Bukit Aman dalam dua siri Operasi Northern Star (Op Northern Star).
Ketua Pasukan AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, rampasan terbaru itu dilakukan menerusi operasi siri kedua di sekitar Lembah Klang serta Utara bermula 18 hingga 21 April lalu.

Katanya, tindakan itu dilakukan rentetan permohonan Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berkaitan kes penipuan pelaburan di sebuah negara jiran.
“Dalam serbuan ini, kita telah menahan lima lelaki tempatan termasuk usahawan bergelar Tan Sri dan Datuk Seri berusia 32 hingga 67 tahun berperanan sebagai rakan kongsi dan proksi.
“Kita juga melakukan pembekuan dan sitaan aset melibatkan tiga kebun dusun durian di Raub, Pahang berkeluasan 850 ekar, Jawi, Pulau Pinang (13 ekar) dan Tasek, Kedah (34 ekar) yang kesemuanya mempunyai geran namun dipercayai dibeli menggunakan wang haram daripada pelaburan itu.
“Tiga perniagaan turut disita membabtkan kilang proses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel dan syarikat pemaju masing-masing di Pulau Pinang mengikut Seksyen 52 (Akta 613),” katanya dalam sidang, di sini, hari ini.

Selain itu, sebanyak 229 akaun bank bernilai RM123.6 juta turut disita, 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, wang tunai dan mata wang asing, (5) unit telefon bimbit, (1) unit komputer riba dan pelbagai dokumen penting.
Muhammed Hasbullah juga memaklumkan, aset yang disita itu dipercayai perolehan haram berkaitan pelaburan terbabit dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan dalam dua siri operasi itu sebanyak RM3.5 bilion.
“Kesemua suspek kini direman selama lima hingga enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).
“Hasil maklumat daripada ‘red notice’ yang diperoleh setakat ini, seramai 11 juta mangsa daripada negara jiran terbabit dalam skim pelaburan malah semakan mendapati, sindiket ini mula bergiat aktif sejak lapan tahun lalu manakala di negara ini hanya enam laporan polis sahaja diterima.
“Kita akan meneruskan siasatan tangkapan mana-mana individu dan entiti dipercayai melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung yang memperolehi, menerima, memiliki dan memindahkan wang dari atau bawa masuk ke Malaysia hasil daripada kegiatan aktiviti penipuan pelaburan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, penipuan pelaburan MBI ini disyaki menggunakan kaedah ‘menebus’ barangan yang ditawarkan di bawah perniagaan mereka’ contohnya tukar tayar kenderaan serta barang elektrik bagi menampakkan perniagaan itu releven.
Justeru itu, Muhammed Hasbullah menyeru orang ramai yang menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan pelaburan tersebut diminta tampil melaporan kepada pihak polis.
Pada 11 April lalu, media melaporkan skim pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran berjaya ditumpaskan dengan sitaan dan pembekuan aset bernilai RM3.17 bilion.
Ia hasil penahanan lapan individu termasuk empat bergelar Datuk dalam operasi pada 20 Mac lalu menerusi Op Northern Star, hasil maklumat notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lapan warga tempatan yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 44 hingga 62 tahun melibatkan dua usahawan dan dua peguam bergelar Datuk.
“Antara aset yang dirampas dan dibekukan ialah 638 akaun bank dan akaun saham berjumlah RM1.16 bilion serta 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion,” jelasnya. – MalaysiaGazette