KUANTAN – Seorang jurutera mengalami kerugian RM1.1 juta akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa seorang lelaki berusia 36 tahun berminat untuk belajar dan membuat pelaburan di atas talian pada 3 Disember tahun lalu.
Menurutnya, mangsa membuat pelaburan bernama Boom-s melalui carian di laman sesawang dan melakukan sebanyak 19 transaksi melibatkan tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM1,163,759.
“Pelbagai alasan telah diberikan oleh pihak pentadbir platform bagi menghalang pengeluaran wang melebihi RM4 juta, yang kononnya merupakan hasil pulangan pelaburan.
“Mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM15,032.53 sebelum tidak dapat lagi mengakses keuntungan selebihnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Difahamkan sumber kerugian mangsa menggunakan wang simpanan sendiri serta dana yang dipinjam daripada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk tujuan pelaburan tersebut.
Yahaya berkata, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis selepas merasakan dirinya tertipu.– MalaysiaGazette