KUANTAN – Aduan yang mendakwa Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) hanya mempunyai enam unit katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah tidak berasas.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan, Datuk Ir Razali Kassim berkata, hospital itu menyediakan perkhidmatan perawatan kritikal dengan 18 katil di ICU bagi pesakit dewasa dan 31 katil Neonatal Intensive Care Unit (NICU) untuk rawatan kritikal bayi.
“Perkhidmatan Coronary Care Unit (CCU) bagi pesakit kritikal jantung juga ada diberikan di hospital ini dengan jumlah sebanyak enam katil,”katanya dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, hari ini.
Menurut Razali, HoSHAS yang mula beroperasi pada 2006 menawarkan 22 perkhidmatan pakar, merangkumi 17 kepakaran dan lima subkepakaran.
Hospital itu, katanya, mula beroperasi dengan 500 katil dan telah ditambah secara berperingkat apabila penggunaan katil melebihi 80 peratus.
“Kali terakhir peningkatan jumlah katil yang telah diwartakan adalah pada tahun 2016 iaitu sebanyak 650 katil yang mana jumlah ini kekal sehingga kini.
“Pada tahun ini, HoSHAS juga telah mendapat kelulusan bagi projek RMK12 RP5 iaitu mewujudkan Wad Paediatric Intensive Care Unit (PICU) baharu berkapasiti 5 Katil yang akan dilaksanakan pada tahun 2025,” ujarnya.
Razali berkata, sebelum ini HoSHAS mengalami masalah tiada katil bagi rawatan rapi kanak-kanak.
Sehingga kini, katanya, jumlah penggunaan katil bagi HoSHAS adalah antara 65 peratus hingga 73 peratus yang mana keperluan katil bagi setiap hari adalah antara 420 hingga 475 katil bagi menampung pesakit. – MalaysiaGazette