PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng Chong Wa, boleh tampil sebagai saksi dan memberi keterangan pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), walaupun terdapat perintah mahkamah Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan terhadapnya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, mahkamah Malaysia terikat kepada bidang kuasanya sendiri dan tidak tertakluk kepada kuasa mana-mana mahkamah asing.
“Ini kes melibatkan kepentingan awam dan telah berlarutan terlalu lama. Mahkamah ini tidak bersedia untuk menunggu sebarang pindaan yang dimohon. Perintah perlindungan oleh mahkamah AS itu tidak mengikat mahkamah ini,” katanya.
Hakim itu berkata, beliau tidak akan menunggu peguam Ng untuk memohon kepada mahkamah AS, untuk meminda perintah perlindungan tersebut bagi membolehkan Ng memberi keterangan dalam perbicaraan 1MDB di sini.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya memohon penangguhan selama setengah jam untuk menemu bual Ng. Permohonan itu dibenarkan oleh hakim dan perbicaraan ditangguhkan seketika.
Terdahulu, peguam Ng Datuk Tan Hock Chua berkata, anak guamnya tertakluk kepada perintah perlindungan yang dikeluarkan Mahkamah Daerah Timur New York, melarangnya ditemu bual atau memberi keterangan di mahkamah Malaysia.
“Jika dipaksa untuk ditemu bual atau memberi keterangan di bawah perintah perlindungan semasa, Peguam Negara AS telah menasihatkan bahawa Roger berhadapan dengan risiko liabiliti jenayah dan kemungkinan sekatan,” kata Tan.
Sebagai respons, Muhammad Shafee berkata, mahkamah boleh menggunakan Seksyen 132 Akta Keterangan, yang Ng perlu menjawab soalan dikemukakan dan beliau tidak boleh dikenakan tindakan jenayah kerana kenyataan tersebut.
Roger Ng yang berhadapan hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan kesalahan di New York kerana membantu penyelewengan dana 1MDB, akan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes tersebut.
Pada 30 Okt 2024, Hakim Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Najib, 71, berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung semula. – BERNAMA