GEORGE TOWN – Polis Daerah Timur Laut mengingatkan orang awam agar tidak membuat laporan palsu semata-mata untuk mengelak daripada dikenakan denda ketika memperbaharui kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian sendiri.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Polis Abdul Rozak Muhammad berkata, sejak 1 Januari hingga 31 Mac lalu, pihaknya telah menjalankan siasatan terhadap lima kes samun palsu bagi menggantikan kad pengenalan hilang.
“Siasatan mendapati semua laporan kes samun palsu itu dibuat dengan motif untuk mengelakkan bayaran denda akibat kehilangan kad pengenalan secara cuai.
“Rata-rata mendakwa telah disamun bagi membolehkan penggantian dibuat secara percuma.
“Pihak polis memandang serius trend tidak sihat ini kerana ia bukan sahaja membazirkan masa dan sumber pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, tindakan membuat laporan palsu adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“Justeru saya menyeru agar masyarakat lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah dengan menipu pihak berkuasa.
“Malah, kita juga tidak akan berkompromi dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















