Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hadir bagi sambungan perbicaraan atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 APRIL 2025

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini dimaklumkan tiada seorang pun daripada 27 saksi pendakwaan yang memberi keterangan sebelum ini pernah menyatakan ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin telah mengabaikan kanak-kanak autisme itu pada hari kehilangannya.

Saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela Haresh Mahadevan dalam perbicaraan masuk hari ke-19 di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh hari ini.

“Daripada 27 saksi yang beri keterangan ketika ini, adakah sesiapa menyatakan mereka nampak tertuduh abaikan Zayn?,” soal Haresh.

Peguam utama, Haresh Mahadevan (tengah) keluar dari pekarangan Mahkamah selepas selesai perbicaraan pertuduhan pengabaian di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025.

Mohd Hafizee menjawab, tiada.

Saksi juga mengesahkan tiada saksi pernah melihat pasangan tertuduh itu berada di kawasan sungai berhampiran Blok R Apartment Idaman iaitu lokasi penemuan mayat Zayn.

Malah, Haresh turut menekankan berdasarkan tiga laporan perubatan dikemukakan di mahkamah, ibu bapa Zayn sentiasa membawa anak mereka mendapatkan rawatan jika sakit.

“Tidak ada sebarang tanda-tanda bahawa kanak-kanak itu pernah diabaikan atau disekat daripada menerima rawatan.

“Laporan bedah siasat juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan lama yang boleh dikaitkan dengan penderaan, anda setuju dengan kenyataan ini?,” soalnya lagi.

Mohd Hafizee juga bersetuju dengan kenyataan peguam bela itu.

Saksi juga mengakui tiada senarai bongkar dikemukakan kepada mahkamah bagi membuktikan asal-usul barang kes yang diambil dari rumah mangsa, termasuk sepasang kasut hitam yang dikatakan milik Zayn.

Beliau juga mengesahkan kesan tanah pada kasut tersebut tidak sepadan dengan lokasi penemuan mayat dan sehingga kini, pemilikan kasut itu masih belum dapat disahkan.

Prosiding sedang bersambung ketika ini.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here