GEORGE TOWN – Alasan sudah bekerja antara punca utama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Pulau Pinang tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Pengarah Pendidikan negeri, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, seramai 239 daripada 17,417 calon Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini didapati tidak hadir bagi menduduki SPM yang bermula 2 Disember lalu.
“Hanya 1.37 peratus tidak hadir menduduki SPM 2024 dan jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu seramai 338 calon tidak tahun SPM 2023.
”Rata-rata mereka didapati kurang berminat untuk menduduki peperiksaan kerana sudah bekerja selain jumlah ketidakhadiran mereka ke sekolah lebih banyak berbanding hadir,” katanya selepas mengumumkan keputusan SPM 2024 bagi negeri Pulau Pinang di Jabatan Pendidikan Negeri di Bukit Gambir hari ini.

Tambah beliau, pelbagai langkah intervensi dilaksanakan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah tahun ini bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah serta menduduki SPM akan datang.
Sementara itu, Wan Sajiri memaklumkan seramai 819 daripada 19,253 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A.
Jelas beliau, peratus pencapaian layak sijil bagi tahun ini adalah 93.67 peratus iaitu peningkatan sebanyak 1.03 peratus berbanding 92.64 pada 2023.
“Bagi gred purata negeri (GPN) bagi tahun ini adalah 4.39 iaitu peningkatan 1.11 peratus berbanding 4.49 pada tahun sebelumnya.
“Seramai 819 calon SPM 2024 di Pulau Pinang memperoleh keputusan semua A berbanding 755 orang pada tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 4.77 peratus.
“Manakala keseluruhan seramai 16,090 daripada 17,417 calon layak menerima sijil SPM bagi tahun ini di negeri ini,” katanya.
Menurut Wan Sajiri, sebanyak 30 buah sekolah di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus yang mana semua calon layak menerima sijil.
Mengikut pecahan sebanyak 10 buah sekolah di Seberang Perai Utara layak menerima sijil diikuti Seberang Perai Tengah (7), Seberang Perai Selatan (2), Timur Laut (8) dan Barat Daya (3).
“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar dalam daerah Barat Daya merupakan sekolah luar bandar yang layak menerima sijil 100 peratus di negeri ini.
“Manakala SMK Pendidikan Khas Persekutuan mencatatkan sekolah peningakatan GPS selama empat tahun berturut-turut dengan 6.41 atau indeks kekuatan 2.39,” katanya. – MalaysiaGazette