Gambar hiasan. Foto HARI ANGGARA, 24 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 25 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya lulus dalam mata pelajaran yang diambil bagi tahun 2024.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu, seramai 14 orang adalah klien dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Seri Iskandar, Perak manakala 11 klien lagi dari calon SPM PUSPEN Papar, Sabah.

“Semua klien ini sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di kedua-dua PUSPEN berkenaan yang menawarkan modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kedua dalam kebajikan pendidikan.

“Menerusi program PAPK ini, semua klien yang layak akan mengikuti jadual kelas yang sistematik dan diajar oleh guru yang berpengalaman serta bantuan tenaga pengajar daripada Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ruslin, program PAPK ini bertujuan membantu klien AADK mendapatkan peluang pendidikan secara formal yang boleh menjamin masa depan mereka kelak.

“Kesemua klien yang lulus SPM 2024 berpeluang melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi seperti di Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara Malaysia dan politeknik,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, program PAPK kini telah ditambah baik dengan memperkenalkan PUSPEN Karangan sebagai Sekolah Integriti AADK berikutan mempunyai bangunan blok sekolah.

“Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil kemahiran menerusi kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang boleh dimanfaat klien AADK untuk meneruskan kehidupan sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

“Selain itu, PAPK menjadi titik tolak kepada perubahan persepsi bahawa keciciran di sekolah tidak semestinya berakhir tanpa ada ruang untuk memperbaikinya.

“Sebanyak enam mata pelajaran diambil klien AADK iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral,” jelas beliau.

Selain itu, beliau berkata, pendekatan Sekolah Integriti AADK juga dilihat dapat menyediakan sumber tenaga manusia yang berilmu untuk keperluan kemajuan negara selari dengan matlamat pendidikan negara.

“Oleh itu, dengan adanya kemudahan ini, AADK mampu menangani isu keciciran pendidikan bagi klien AADK sekali gus dapat menyambung semula sesi persekolahan secara korektif,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here