Mohd Hanafi menunjukkan keputusan SPM 2024 negeri Johor di Pejabat Pendidikan Negeri, di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Johor merekodkan Gred Purata Nasional (GPN) Negeri yang melepasi paras GPN Nasional selama lima tahun berturut-turut.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd Hanafi Samad berkata, GPN Negeri tahun ini direkodkan pada 4.36, manakala GPN Nasional adalah 4.49.

Jelas beliau, jumlah berkenaan sekali gus menunjukkan pencapaian keputusan SPM terbaik dalam tempoh lima tahun.

“Berdasarkan kepada analisis pencapaian keputusan SPM mulai 2020 hingga 2023 juga, pencapaian ini (2024) merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM 2024 negeri Johor di Pejabat Pendidikan Negeri, di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Katanya, secara keseluruhan seramai 41 calon SPM 2024 di negeri itu memperoleh pencapaian cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran, berbanding 20 calon pada 2023.

Sementara itu ujarnya, seramai 1,513 calon SPM berjaya memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 1,247 calon pada 2023.

Mohd Hanafi berkata, seramai 168 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) telah menduduki peperiksaan SPM 2024, yang mana 16 calon mendapat keputusan yang cemerlang iaitu 8A (4 orang), 7A (4 orang), 6A (8 orang).

Katanya, bagi prestasi sekolah pula, berlaku peningkatan dalam peratusan 100 peratus layak mendapat sijil bagi sekolah bandar dan luar bandar iaitu sebanyak 81 buah sekolah pada SPM 2024, berbanding 75 buah sekolah pada SPM 2023.

“Bagi Sekolah Menengah Harian, sebanyak 41 buah sekolah mencapai 100 peratus layak mendapat sijil, Sekolah Menengah Agama (20 buah), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (lima buah) dan Sekolah Felda (lapan buah),” jelasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here