KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited berjumlah RM2.6 bilion ke daerah Segamat dan Mersing di Johor dalam suku pertama tahun 2025.
Pelaburan itu dipacu oleh pembangunan strategik dalam sektor pembuatan, khususnya tenaga boleh diperbaharui, yang mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi di kedua-dua daerah tersebut.
ECERDC turut giat membangun Segamat dan Mersing untuk dibentuk sebagai hab pengeluaran makanan, dengan menarik pelaburan serta melaksanakan inisiatif berfokus dalam sektor pertanian, perikanan dan tenusu, untuk memperkukuh peranan Johor dalam agenda sekuriti makanan negara.
Mersing pula turut dibangunkan sebagai sebuah lokasi pengenalan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi dan kepulauan, disokong oleh penaiktarafan infrastruktur dan inisiatif eko-pelancongan yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehcapaiandan pengalaman pelawat.
Antara projek utama di Segamat termasuklah pembinaan loji jana kuasa solar hibrid berkapasiti 860MW di atas tanah seluas 1,700 ekar, menjadikannya salah satu projek tenaga boleh baharu yang terbesar di rantau ini.
Selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, projek ini memainkan peranan penting dalam menyokong agenda negara terhadap pembangunan rendah karbon. Manakala, Segamat pula akan dibangunkan dengan kemudahan biomass yang menukar Empty Fruit Bunches kepada pelet bahan api sawit, untuk menyokong penggunaan lestari melalui sisa pertanian serta menyumbang kepada ekonomi kitaran.
Di Mersing, pembangunan Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) menjadi salah satu pemangkin utama kepada agenda sekuriti makanan negara. Sehingga Mac 2025, projek hab tenusu moden bersepadu ini telah mencapai 93% kemajuan dan dijangka untuk siap sepenuhnya pada bulan Jun 2025.
Setelah beroperasi, JDV dijangka meningkatkan pengeluaran susu tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, dan membuka peluang pekerjaan baharu.
Pembangunan infrastruktur berkaitan dengan pelancongan di daerah ini juga menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Antara projek utama termasuklah Peta Rainforest Discovery Centre , penaiktarafan jalan ke Taman Negara Johor Endau-Rompin, penyiapan jeti Pulau Pemanggil, serta pembinaan Pusat Maklumat dan Khidmat di Taman Laut Sultan Iskandar di Pulau Besar.
Usaha pembangunan ini dijangka untuk meningkatkan kebolehcapaian, membuka peluang pelancongan baharu dan menyokong kepelbagaian ekonomi tempatan.
Pelaburan di Segamat pula adalah dalam sektor pembuatan produk plastik dan pembungkusan, kilang pemprosesan kelapa bersepadu, serta ladang penternakan ayam baka yang dilengkapi dengan teknologi Smart Farm: broiler farm.
Pelaburan tersebut bakal mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan rantaian bekalan berasaskan luar bandar yang menyokong sekuriti makanan dan tenaga negara.
“Pencapaian ini amat memberangsangkan untuk Segamat dan Mersing. Dengan kerjasama berterusan antara Kerajaan Negeri, MIDA dan ECERDC, kami yakin bahawa lebih banyak pelaburan berimpak tinggi akan dapat diperoleh untuk mempertingkatkan pembangunan ekonomi di kedua-dua daerah ini.
Usaha ini juga selari dengan Rancangan Pembangunan ECER di bawah RMK-13 yang menyasarkan sumbangan KDNK berjumlah RM13 bilion menjelang 2030,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Johor pertama tahun 2025 di Putrajaya.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memacu pembangunan mampan dan berinovasi di Segamat dan Mersing merentasi semua sektor ekonomi, bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti, merangsang pembangunan ekonom ijangka panjang, serta memperkukuh landskap perindustrian negeri Johor.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, sektor pertanian kekal sebagai teras utama dalam strategi ECERDC dalam menjana pembangunan mampan dan inklusif di Mersing dan Segamat.
Jelasnya, dengan mengintegrasikan infrastruktur pertanian moden, aktiviti hiliran nilai tambah dan amalan pertanian pintar, ECERDC akan terus mengusahakan pembangunan ekonomi luar bandar yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, sejajar dengan agenda sekuriti makanan negara.
Antara sebahagian daripada usaha tersebut, ECERDC telah memeterai kerjasama strategik bersama Pejabat Daerah Segamat dan CSC Plantation Sdn. Bhd. untuk melaksanakan program Tanaman Secara Fertigasi selama 10 tahun di bawah program IPR-INTAN.
Projek tersebut akan dijalankan di tapak seluas 20 ekar di Agro Mix Farm 3 dan melibatkan penyertaan 42 peserta dari golongan B40 dalam penanaman cili dan rock melon dengan menggunakan teknologi pintar (IoT).
Usaha ini dijangka dapat meningkatkan produktiviti pertanian luar bandar dan menjana pendapatan tetap sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap peserta. -MalaysiaGazette