GEORGE TOWN – Seluruh sekolah di Pulau Pinang akan beroperasi seperti biasa tanpa sebarang cuti atau pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) meskipun terkesan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) bermula malam esok sehingga 28 April ini.
Pengarah Pendidikan negeri, Wan Sajiri Wan Hassan memaklumkan, ia susulan SWSI hanya melibatkan dua hari persekolahan iaitu Jumaat dan Isnin.
“Pihak sekolah telah diarahkan untuk membuat persiapan awal dengan menyimpan bekalan air secukupnya bagi menghadapi SWSI.
“Kita juga sudah mempunyai pengalaman menguruskan gangguan air yang lebih panjang sebelum ini dan kali ini kita mengambil langkah proaktif.
“Jadi kita harap dengan sekolah membuat persiapan ini, kita dapat meneruskan persekolahan seperti biasa,” katanya ketika diminta mengulas persiapan sekolah menjelang SWSI bermula malam esok.
Tambah Wan Sajiri, bagi murid yang tinggal di asrama pula, mereka dibenarkan pulang ke rumah dan hadir ke sekolah sebagai pelajar harian.
“Bagi murid yang tinggal di asrama, kita membenarkan murid untuk pulang ke rumah bermula petang ini dan hadir sebagai pelajar harian sebelum dibenarkan kembali ke asrama pada Ahad,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) dijadualkan bermula dari jam 10 malam pada 25 April ini dan akan menjejaskan 341,708 pengguna air di kawasan SPU, SPT, SPS, DTL dan DBD dengan tempoh gangguan antara 24 hingga 60 jam bergantung kepada kawasan.
Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan bergantung pada jangkaan tempoh SWSI di kawasan mereka. – MalaysiaGazette