KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa segera membuat keputusan berhubung pelaksanaan waktu bekerja baharu jururawat bagi mengelakkan kekeliruan dan gangguan kepada sistem kesihatan awam.
Menurut Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran, kelewatan membuat keputusan menimbulkan keresahan dalam kalangan jururawat sehingga menjejaskan perancangan logistik dan pengurusan sumber manusia di fasiliti kesihatan awam.
“Jururawat berperanan bukan sahaja sebagai petugas kesihatan yang merawat pesakit, tetapi juga sebagai ibu, isteri, dan anak dalam keluarga masing-masing.
“Peningkatan waktu kerja daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu tanpa perancangan menyeluruh akan menjejaskan keseimbangan hidup mereka, seterusnya memberi kesan kepada mutu penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini KKM menangguhkan pelaksanaan waktu kerja baharu dari 1 Disember 2024 kepada 1 Mac 2025, namun keputusan ditangguhkan sekali lagi kepada 1 Jun ini.
Katanya, pelaksanaan dasar baharu yang tidak dipertimbangkan secara menyeluruh boleh mempercepatkan lagi kehilangan tenaga kerja dalam kalangan jururawat.
Ini, katanya, akan memburukkan lagi keadaan, khususnya dalam menghadapi peningkatan penyakit tidak berjangkit dan jumlah warga emas yang kian bertambah. – MalaysiaGazette